Apepun aku bawakan khas lagi sekali artikel kawan aku yang merupakan salah seorang kawan dalam dunia pekerjaan yang aku gemari. Setakat ni dalam blog ni dah ada dua penulisan oleh beliau yang aku postkan dalam blog aku yang tak berapa nak ada pengunjung ni. Hehehe...jomlah...layan
EMBLEM KERAMAT
Suatu tengah hari pada awal tahun 2012 yang lalu, aku ronda-ronda naik motor di sebuah kawasan perumahan berhampiran Putrajaya. Hajat hati nak carikan sebuah rumah sewa untuk sorang member kat pejabat.
Tengah aku terjenguk-jenguk mencari iklan ‘Rumah Untuk Disewa’, aku terlihat sorang makcik tua berjalan sambil membimbit empat beg plastik yang besar. Aku dapat mengagak barang yang dibawanya agak berat. Untuk setiap langkah yang diatur, kedua-dua kakinya cuba dipasak kuat ke muka bumi. Barang itu begitu berat sehingga langkahnya kelihatan tidak stabil. Walau pun aku duduk atas motor, aku masih boleh nampak urat biru dan hijau di belakang tangan perempuan tua itu.
Aku yang mementingkan diri, berhenti menjenguk-jenguk dan cepat-cepat melintasi perempuan tua. Tapi mujurlah time tu sebenarnya road tax aku dah mati, dan aku tak tau macam mana aku boleh terpikir dalam hati: ‘Kalau Tuhan nak balas, naya kau kat atas jalan time balik karang! Road tax dah la mati, kalau kau eksiden nanti macam mana?’
Entah kenapa, aku pun cepat-cepat buat u-turn dan menghampiri makcik tua tadi. Perempuan tua itu memusingkan badan dan berhenti melangkah apabila motosikal aku menghampirinya.
“Acik nak gi mana ni?” tanya aku penuh sopan. Tapi terus terang aku cakap, aku sangat mementingkan diri. Aku sebenarnya berharap makcik tu akan kata: ‘Eh, takpe. Rumah makcik dekat je. Dah sampai pun hah. Hua hua hua…’
“Makcik nak balik…” jawab perempuan tua itu….. Oh Tuhan! Suaranya terketar-ketar. Getar suaranya sangat-sangat meruntun jiwa bagi sesiapa pun yang mendengar. Baru aku tahu bahawa beban empat beg plastik itu terlalu berat baginya! Tuhan itu maha membolak-balikkan hati. Aku naik kasihan. Aku mesti hantar orang tua ni balik rumah dia! Aku nak bawak barang-barang ni!
“Mari acik. Saya hantar acik balik” aku pelawa makcik itu. Tetapi dia terpaku. Mata hitamnya yang pudar merenung tepat ke muka aku. Namun aku sedar mata hatinya yang tajam sedang menilai luar dan dalam diriku. Dia mungkin bermonolog dalam hatinya: ‘Buang tebiat apa budak jantan ni nak tolong aku? Dia ni baik ke jahat, nak rompak aku ke? Mungkin dia saudara jauh yang aku tak berapa ingat? Budak jantan ni kawan anak aku? Atau mungkin dia ingat aku ada anak dara yang tak kawin lagi? Ke dia hilang akal nak ngorat aku? Kang aku naik moto ni laki aku kata apa plak…?’
Aku tak benarkan makcik itu bermonolog lagi. Lantas aku injakkan sedikit punggung ke hadapan, dan aku ulang semula pelawaanku:
“Mari la saya hantar acik balik, berat tu acik…” kataku dengan wajah seikhlas mungkin yang dapat kuhasilkan.
“Eiii… makcik tak nak naik moto… makcik tak reti naik..!” kata perempuan tua itu. Mimik wajah dan geliang-geliuk badannya benar-benar menunjukkan dia tidak gemar akan makhluk yang bernama motosikal. Aku agak terkejut dengan gerakan makcik itu yang seperti ular, tapi cepat-cepat aku turun dan tolak motor naik atas rumput. Kemudian aku berjalan menghampirinya.
“Mari makcik, biar saya bawak barang nih…” aku menghulurkan tangan ke arah beg plastik yang dibimbitnya.
“Alahh.. takpelah anak, Makcik boleh bawak ni…” suaranya yang terketar-ketar itu diselikan dengan sedikit senyuman. Perkataan yang keluar dari mulutnya seperti menghalang aku mengambil beg-beg plastik itu, tetapi tindakannya tidak. Dengan mudah dia melepaskan barangan yang dibawanya ke tangan aku. Di saat itu aku mula sedar, bahawa makcik ini benar-benar memerlukan bantuan. Tetapi dasar orang tua berhemah, dia masih lagi cuba mengambil beberapa ikat sayur untuk dibawanya. Padahal takde beza pun kalau dia bagi aku bawak je sayur yang dua tiga helai tu.
“Rumah acik kat mana..? Saya tolong acik bawak ni ye…?” aku bertanya. Sambil berjalan, makcik tua itu pun menunjuk-nunjukkan arah rumahnya, sambil menyebut beberapa simpang, masuk kanan dan sebagainya. Aku berpura-pura mendengar dan memberi perhatian. Sebenarnya aku tidak peduli pun di mana rumah makcik ni. Aku cuma tak sanggup nengok dia bawak beg-beg plastik ni sorang diri.
Tetapi baru beberapa langkah, aku mula tertanya-tanya barang apakah yang makcik ni beli sebenarnya? Mak aih! Beratnya bukan kepalang, sehingga tangkai beg plastik itu bagaikan dawai yang menjerut daging dan tulang jariku. Aku mengintai ke dalam beg plastik. Aku ternampak beberapa tin susu pekat isian manis dan sardin, buah kelapa, daging yang ntah le berapa kilo, ayam pulak yang ntahnya berapa ekor! Aku berpaling ke belakang dan terpikir: ‘Makcik ni berjalan sorang diri, dari kedai sana sampai ke sini sambil bawak barang-barang ni? Tidakkah dia mempunyai anak atau cucu yang sepatutnya menolong? Atau adakah makcik ini tinggal keseorangan bersama suaminya yang tua? Tak mungkin, sebab kalau tak sapa nak makan segala daging dan ayam ni? Sapa pulak nak pelahap susu pekat nih?'
Semakin lama berjalan, tangkai beg plastik itu makin menyakitkan tulang jariku. Rumah makcik itu agak jauh! Tapi aku segan nak tanya: 'Rumah acik jauh lagi ke?'. Nanti karang nampak tak ikhlas pulak aku bawak barang-barang dia. Aduh! Aku pun sengal jugak. Baru aku sedar aku tak bukak helmet dulu. Habis berpeluh-peluh kepala hotak aku!
Ketika aku membayangkan bahawa rumah makcik itu terletak di kawasan lereng bukit, di tempat beberapa pekerja warga asing mendirikan rumah-rumah kayu yang serba daif dan dikelilingi batas-batas sayur, tiba-tiba makcik itu berkata:
"Tu hah, rumah makcik..." dia menundingkan jarinya ke arah sebuah rumah dua tingkat (aku tak tau nak kata banglo ke tak) yang berpagar besi. Kelihatan dua buah kereta dan sebuah motorsikal diparking di halaman. Aku berhenti melangkah. Aku tergamam melihat rumah itu. Orang yang waras akal fikirannya akan mengetahui, bahawa rumah yang besar itu menandakan makcik itu bukan orang susah. Dua buah kereta dan sebuah motorsikal itu pula menandakan rumah itu didiami oleh beberapa orang, dengan kata lain ianya rumah keluarga. Jadi persoalannya: KENAPA DIBIARKAN MAKCIK INI MEMBELI BARANG SEORANG DIRI, DAN MEMBIARKANNYA TERSIKSA MEMBAWA BARANG-BARANG ITU DENGAN KUDRAT TUANYA? MEMBIARKANNYA BERJALAN KAKI SEBEGINI JAUH DI WAKTU MATAHARI MEMBAHANG KERAS?
Aku cuba tidak melayan prasangka-prasangka hatiku yang jahat. Aku mengikut makcik itu masuk ke halaman rumah. Dengan cepat mataku dapat menangkap sejenis emblem yang dilekatkan pada salah satu nombor pendaftaran kereta tersebut. Aku cukup kenal emblem itu. Yaaa...! itu EMBLEM KERAMAT!! Emblem yang aku pun tak tau apa punca ianya perlu dilekatkan di atas kenderaan!
Pintu rumah itu terbuka luas. Dari luar dapat kulihat tiga remaja lelaki sedang berbaring menonton televisyen. Dua daripadanya masih terlalu muda. Tapi salah seorang darinya mungkin lepasan SPM. Melihatkan susuk badannya yang kuat, hatiku yang jahat berkata lagi: 'Kenapa budak ni bersenang-lenang menonton televisyen dan membiarkan makcik tua membeli barang? Apa dia tak reti pikir? Muka je nampak dah besar, harapkan kaki je dah berbulu lebat! Otak takde ke?'
"Assalamualaikum..." Makcik itu memberi salam. Ketiga-tiga remaja itu bingkas bangun apabila menyedari aku, seorang lelaki asing yang kelihatan aneh (kerana bertopi keledar) sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya. Ketika meletakkan beg-beg plastik itu di muka pintu, baru aku perasan seorang lelaki separuh usia sedang duduk atas sofa di sudut ruang tamu rumah tersebut. Terus saja aku dapat meneka, bahawa kereta yang dilekatkan emblem keramat itu mungkin miliknya.
"Mak..?" lelaki separuh usia itu berhenti berkata-kata sebaik sahaja menyedari kehadiranku. Perkataan 'mak' yang terkeluar dari mulutnya itu membuatkan aku pasti bahawa makcik itu adalah ibunya. Manakala ketiga-tiga remaja itu adalah cucu-cucu lelaki makcik tersebut.
"Tadi anak ni tolong mak bawak barang.. hih hih hih..." Kata makcik tua. Dia ketawa, namun aku sedar ketawanya itu dibuat-buat bagi menyembunyikan perasaan malunya. Malu kepada siapa? Malu kepada aku, lelaki asing yang melihat seorang ibu tua tidak dibantu oleh anak dan cucunya. Lelaki asing yang melihat seorang ibu tua terpaksa berjalan kaki membeli barang, walaupun cucu-cucunya sudah besar, walaupun anaknya mempunyai kenderaan mewah yang dilekatkan dengan EMBLEM KERAMAT!
Aku lihat lelaki separuh usia itu tergamam di atas sofa. Barang kali dia sedang mencari justifikasi kenapa dibiarkan ibunya yang sudah tua pergi membeli barang. Bibirnya bergetar-getar, seolah-olah dia mahu berkata: 'kenapa mak tak cakap kat saya nak beli barang?' atau 'Tu lah mak, tadi saya nak beli mak tak bagi' atau 'Laa.. kenapa mak tak tunggu saya? saya ingat mak duk tengah bersiap tadi..' Namun perkataan-perkataan itu tidak keluar dari mulutnya. Hatiku yang jahat pun berkata lagi: 'Kenapa kau fikir perkataan-perkataan seperti itu akan keluar? Dia memang sengaja membiarkan ibunya keseorangan membeli barang!'
"Terima kasih.. kerja ke atau belajar lagi?" Lelaki separuh usia itu bertanya. Aku cepat-cepat menundukkan kepala dan berpura-pura memeriksa barang di dalam beg plastik. Sebenarnya aku takut lelaki itu akan terlihat ekspresi meluat di wajahku. Ya.. aku memang rasa meluat! Aku tenangkan diri, mengangkat semula kepalaku dan menjawab:
"Saya belajar lagi, dekat Universiti Malaya. Datang berjalan kat rumah saudara di Presint 9..." Aku memberikan jawapan palsu, tetapi agak terperinci. Aku berbuat begitu supaya dia tidak meneruskan soalan-soalannya seperti : 'Oh, you keja kat situ. berapa lama dah keja? batch mana? kenal tak orang tu, orang ni..?' Aku tak mau jawab soalan-soalan lanjutan lelaki separuh usia itu. Aku meluat untuk melihat dan bercakap dengannya!
Tiba-tiba seorang perempuan yang mungkin dalam usia lewat 30-an menjengah dari sebalik langsir dapur. Tetapi dia cepat-cepat masuk semula apabila terpandang lelaki aneh ini berdiri di hadapan pintu rumahnya. Aku tau aku tidak boleh tunggu lama. Aku minta diri untuk beransur pergi.
"Terima kasih anak ye... makcik mintak maaf le nyusahkan anak tadi..." suara makcik itu masih terketar-ketar. Aku hanya mengangguk dan senyum, lalu berjalan semula ke arah pagar besi rumah tersebut. Sekali lagi aku menjeling ke arah emblem keramat itu. Hatiku yang jahat berbisik lagi: 'Lelaki separuh usia, sampai begitu sekali hatimu dibutakan oleh EMBELEM KERAMAT ini? Aku tidak peduli berapa ramai orang yang menghormatimu di tempat kerja sebagai pegawai berpangkat tinggi, tetapi aku memandang rendah dan hina kepadamu!'
Aku berjalan keluar. Tapi belum pun sempat aku melewati pagar besi rumah tersebut, telingaku dapat menangkap suara seorang perempuan bertanya:
"Ada tak mak, barang-barangnya...?"
No comments:
Post a Comment
Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.
Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.