Assalamualaikum semua. Maaflah sebab dah lama sangat tak update blog. Bulan Jun dan Julai ni memang tak lekat kat umah hujung minggu, tak sempat nak berblog. Lumut-Perhentian-Miri-Bario-Kuala Terengganu...memang letih yang amat sangat. Tapi nak buat cmana, itulah punca rezeki aku. Buat yang menunggu aku update kisah Mona Fandey ni, terima kasihlah kerana bersabar. Aku tak sempat nak edit chantek punye..Walau bagaimanapun jom kita layan pengalaman WebZone Attack(WA) sepanjang menjadi wartawan yang melaporkan perjalanan mahkamah kes yang unik...kes terakhir yang menggunakan sistem juri di Malaysia.
EPISOD 21
CERITA perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 aku teruskan lagi. Kali ini aku nak bawakan keterangan mengenai tongkat sakti dan songkok hikmat. Ada bertanya apa pentingnya kedua-dua benda itu dalam kes ini. Tentulah penting. Jika tidak, takkan dibawa ke mahkamah. Aku malas nak cerita panjang lebar pasal benda itu. Kalau dah cerita tak syok nak baca nanti.
Tongkat sakti dan songkok hikmat yang diambil dari rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, tempat jasad Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris ditemui pada Julai 1994, tidak boleh dipisahkan. Tongkat dan songkok yang ditemui di rumah pasangan bomoh, Mohd Affandi Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey, yang dikatakan bernilai lebih RM2.5 juta itu mesti dipakai bersama.
Perkara itu diberitahu oleh peguambela, Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, ketika memeriksa balas saksi pendakwa ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar. Ghulam Mustaffa juga berkata, tongkat yang kononnya milik Presiden Sukarno itu dibawa dari Indonesia.
Tongkat hitam yang panjangnya kira-kira satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak serta songkok hitam lipat itu kemudian dikemukakan di mahkamah dan diterima sebagai barang kes. Mahpop dalam keterangannya berkata, tongkat dan songkok itu diambil oleh Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Ahmad
di rumah berkenaan pada 22 Julai 1993. Menurutnya, dia juga pernah melihat kedua-dua barang itu ketika menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan
pada 19 Julai 1993.
di rumah berkenaan pada 22 Julai 1993. Menurutnya, dia juga pernah melihat kedua-dua barang itu ketika menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan
pada 19 Julai 1993.
"Saya mendengar cerita tongkat dan songkok itu telah dijual kepada Allahyarham Datuk Mazlan dan saya tidak tahu nilainya," katanya.
Ghulam Mustaffa ketika memeriksa balas Mahpop mengenai tongkat dan songkok itu antara lain bertanyakan soalan berikut: Ghulam: Pada 19 Julai 1993, ketika memeriksa rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, adakah Encik Mahpop menjumpai satu tongkat.
(Ghulam kemudian meminta izin Hakim Mokhtar Sidin untuk bertanya sesuatu kepada Affandi). Tongkat itu panjangnya kira-kira satu meter, kedua-dua hujungnya disalut perak.
Mahpop: Saya ada nampak.
Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, bahawa tongkat itu...
(Ghulam terhenti seketika untuk memikirkan perkataan sesuai untuk menunjukkan kepentingan tongkat itu. Pada ketika ini, hakim mencelah).
Hakim: Tongkat hikmat...
Ghulam: Satu tongkat sakti yang tidak dapat dimiliki dengan wang ringgit. Bilakah Takbir ambil tongkat itu?
Mahpop: Pada 22 Julai 1993.
Ghulam: Tongkat sakti...
(belum sempat Ghulam meneruskan ayat itu hakim sekali lagi mencelah).
Hakim: Saya catatkan tongkat saja, saktinya sudah hilang.
Ghulam: Ada satu lagi barang berharga. Adakah Encik Mahpop nampak satu songkok?
Mahpop: Ada.
Ghulam: Apa warnanya.
Mahpop: Hitam.
Ghulam: Songkok itu berlipat?
Mahpop: Jenis lipat.
Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, itu adalah songkok hikmat dan songkok sakti seperti yang dikatakan oleh hakim?
Hakim: Saya tak kata.
Mahpop: Bagi saya, ia adalah songkok biasa. Sehingga hari ini, saya tidak tahu hikmatnya. Begitu juga dengan tongkat itu.
Ghulam: Tadi kata tahu.
Mahpop: Saya hanya dengar cerita.
Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, tongkat dan songkok itu tidak boleh dipisahkan. Mesti pakai bersama-sama.
Mahpop: Ya.
Ghulam: Adakah Encik Mahpop pegang dan belek tongkat itu?
Mahpop: Ada, tapi biasa saja. Tongkat sakti itu juga dikatakan mengandungi dua besi hikmat. Besi kuning dan aji dalam tongkat hitam sepanjang kira-kira satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak itu juga dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Ghulam Mustaffa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kedua-dua besi hikmat itu yang disimpan di hulu tongkat itu sudah hilang.
"Tongkat ini sudah dibuka," katanya sambil membuka dan menunjukkan hulu tongkat itu.
Peguambela itu memberitahu demikian ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.
Takbir juga menafikan kenyataan Ghulam bahawa dia telah berbuat sesuatu kepada tongkat itu, termasuk membuka hulu dan melihat isi kandungannya.
Bagaimanapun, pegawai polis itu mengaku ada membelek-belek songkok hikmat hitam yang ditemui di tempat yang sama, tetapi tidak nampak ayat-ayat ikal seperti yang dinyatakan oleh Ghulam Mustaffa.
Ditanya oleh Ghulam Mustaffa sama ada dia mengetahui keistimewaan tongkat dan songkok itu katanya: "Saya tidak nampak apa-apa keistimewaan pada tongkat dan songkok itu.”
Takbir juga berkata, dia diberitahu oleh Penolong Penguasa Mahpop Jaafar, bahawa tongkat itu milik Mazlan.
Pegawai polis itu mengambil tongkat dan songkok berkenaan pada 22 Julai 1993 selepas diberitahu mengenainya oleh tertuduh kedua.
Kedua-dua barang itu kemudian disimpan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga diserahkan kepada Mahpop pada 11 Ogos 1993. Cerita ini tak habis lagi. dalam siri seterusnya akan dipaparkan gambar Datuk Mazlan - atas permintaan ramai.
EPISOD 22
RAMAI yang ingin menetap wajah Datuk Mazlan Idris (gambar bawah). Puas mencarinya. Dalam internet tak jumpa. Nasib baik dalam keratan akhbar lama ada satu saja gambarnya. Itu pun hitam putih. Teringat album Hitam Putih Kehidupan yang dirip dan sudah diupkan dalam laman sezali.
Oklah aku sambung lagi cerita pasal tongkat dan songkok yang dikatakan mempunyai sakti. Pasti ada bertanya mengapa kedua-dua benda itu dikatakan begitu berharga. Tertuduh kedua kes pembunuhan Datuk Mazlan, Mohd Affandi Abdul Rahman memperolehi tongkat dan songkok yang dikatakan peninggalan Presiden Sukarno, Indonesia kerana rapat dengan ahli pondok dan kiai di Jawa Barat, Indonesia. Menurutnya, dia juga pemegang amanah Dana Aliran Wang Bantuan di tiga pesantren (pondok) di kawasan itu.
"Saya selalu membantu pesantren. Dari situlah saya mencari wang membantu pesantren seperti membina atau membesarkan musolah (masjid) serta untuk kegunaan pasentren.
"Saya juga murid kiai di tiga-tiga pesantren," katanya.
Affandi berkata, dia memberitahu demikian ketika Datuk Mazlan ke rumahnya di Tanjung Lumpur, Kuantan pada 1993 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan songkok dan tongkat itu.
Menurutnya, dia juga memberitahu Mazlan, harga songkok dan tongkat serta azimat itu ialah RM2.5 juta.
Katanya, barang-barang itu pernah ditawarkan kepada seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Hishamuddin Tengku Laksaman Nasir tetapi tiada jawapan mengenainya.
"Saya juga memberitahu Datuk Mazlan, dia perlu membayar cengkeram RM500,000 jika mahu barang-barang itu," katanya.
Affandi berkata, Mazlan hendak sangat barang-barang itu kerana telah lama mendengar mengenai keberkesanannya.
Katanya, Mazlan mempercayai akan keistimewaan azimat, tongkat dan songkok itu selepas mencubanya sendiri. itu cerita songkok dan tongkat berharga RM2.5 juta. Orang banyak duit aje yang mampu membeli benda itu. Kalau tongkat dan songkok - kena beli kedua-duanya - beli satu, ilmu tak jadi - mahal, pasangan bomoh Affandi dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey ada jual azimat.
Yang ini taklah sampai juta-juta ringgit tapi, hampir RM10,000 juga. Dalam keteranganny, Affandi memberitahu mahkamah harganya RM7,000 saja. Itulah harga yang diletakkan oleh mereka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan satu azimat.
Harga itu juga dikenakan oleh mereka untuk memasukkan susuk emas kepada sesiapa yang menghendakinya.
Affandi berkata, lebih 700 orang kebanyakannya orang politik `membeli' azimat itu daripadanya ketika mereka tinggal di Teluk Gong, Klang pada 1991.
Menurutnya, azimat itu antara lain boleh menjadikan orang yang memilikinya kebal dan tidak lut dengan senjata tajam.
Selain itu, tertuduh kedua mengenakan bayaran mengikut umur kepada mereka yang ingin belajar silat.
"Jika seseorang itu berusia 17 tahun bayarannya ialah RM17, begitulah jika berusia 30 tahun, bayarannya adalah RM30.
"Saya mempunyai lebih 5,000 ahli silat sejak tinggal di Kampung Perajurit hingga
Kampung Nelayan, Teluk Gong," katanya.
Affandi juga berkata, ketika di Teluk Gong dia membuka tiga gelanggang silat iaitu di Kampung Perajurit, Kampung Hamid Tuah dan Kampung Nelayan.
Menurutnya, tertuduh pertama, Juraimi Husin akan mengajar silat ketika ketiadaannya.
Affandi mengakui dia dan isteri seorang bomoh ketika tinggal di Teluk Gong.
Katanya, ketika tinggal di Kampung Nelayan, dia mengajar Juraimi membuat minyak burung serta mengenali bahan membuat ubat. Affandi berkata, dia juga ada membeli rumah di Tanjung Lumpur, Kuantan, untuk menamatkan ilmu `kullhu' yang dituntut oleh Juraimi.
Affandi memberitahu mahkamah dengan mengamalkan ilmu `kullhu', Juraimi menjadi kebal hingga boleh makan kaca, kalis asid, kalis senjata dan boleh menidurkan benda bernyawa.
Datuk Mazlan dikatakan memiliki tongkat sakti dan songkok hikmat, tetapi mengapa boleh cedera dan mati dengan kapak? Bak tahu ceritanya, tunggu siri ke-23.
EPISOD 23
AJAL dan maut semuanya ketentuan-Nya. Hal ini tiada siapa yang boleh melawannya. Betapa kuat atau kebalnya kita di dunia ini, Allah lebih daripada segala-galanya. Kalau Allah katakan jadi, maka jadilah seperti kehendak-Nya. Intro semacam aje. Bukan apa, ada kaitan dengan cerita seterusnya.
Bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris memiliki tongkat, songkok dan azimat yang dikatakan dapat menjadikannya kebal,kalis kaca dan peluru, tapi dia mati kerana hanya ditetak dengan kapak. Mengapa boleh jadi begitu. Ketentuan Illahi.
Tapi, bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman ada jawapannya ketika disoal mengenai perkara itu di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.
Dia mengakui bahawa Mazlan yang memiliki tongkat, songkok dan azimat mempunyai kekuatan itu. Tapi, dia mati selepas lehernya ditetak oleh Juraimi Husin kerana barang-barang berkenaan tidak ada padanya (Mazlan) ketika itu.
Menurutnya, pada malam pembunuhan 2 Julai 1993, Mazlan hilang kekebalannya kerana tidak memegang tongkat serta tidak memakai songkok dan azimat.
"Songkok, tongkat dan azimiat itu perlu dipakai bersama setiap masa untuk memastikan kesaktiannya," katanya ketika menjawab soalan balas Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam.
Selain itu, Affandi berkata, hikmat lain barang itu ialah dapat membuatkan pemiliknya makan kaca dan menundukkan seorang. Katanya, jika tongkat itu dihalakan kepada wanita hamil sambil membacakan perkataan tertentu, kandungannya akan gugur. Menurutnya, Mazlan tahu segala hikmat tongkat, songkok dan azimat yang dikatakan dibeli dengan harga RM2.5 juta. Menjawab soalan Zakaria bahawa Mazlan tidak perlu ilmu itu kerana diabukan hendak berperang ke Somalia, Affandi menjawab: "Soal perang atau tidak itu soal orang yang memilikinya. Dia hendak pergi berperang itu hak dia. Ini kerana tongkat ini ibarat ikhtiar, bagaimana Nabi Musa menggunakan tongkat untuk membelah laut."
ZAKARIA: Itu nabi.
AFFANDI: Ya, tapi melalui doa.
Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian berkata, apa yang ada pada Nabi Musa adalah mukjizat dan bukan doa saja. Ini adalah perkara yang berbeza.
Affandi juga berkata, Mazlan memerlukan tongkat, songkok dan azimat itu untuk keselamatannya dalam bidang politik.
Memanglah sukar nak percaya benda macam ini. Tapi, ia memang tidak dinafikan berlaku. Kalau tidak, takkan timbul perkara macam ni. Entah betul ke tidak, hanya Allah dan tuan punya diri yang tahu.
Empat keris yang ditemui di rumah Affandi |
Bercerita pasal benda ini, ramai yang bertanya betul ke Affandi tu bomoh hebat. Kalau pandai main bomoh kenapa kena tangkap. Kenapa tak pukau aje semua orang supaya ikut cakap dia. Nak tahu apa dia cakap ketika soalan itu ditanya dalam mahkamah.
Affandi berkata dia sudah tentu memukau peguambela Ikmal Hisam Idris di mahkamah jika mempunyai pengetahuan mengenai ilmu hitam itu. Menurutnya, dia tidak mengetahui ilmu pukau seperti yang dikatakan oleh peguambela Juraimi Husin itu.
Katanya, kenyataan Ikmal bahawa dia (Affandi) telah memukau Juraimi sehingga tertuduh pertama tidak boleh berbuat apa-apa dan mengikut saja arahannya, adalah tidak benar.
"Saya tidak pukau Juraimi dan saya tak tahu ilmu pukau. Kalau saya ada ilmu pukau, sudah tentu Encik Ikmal saya pukau," katanya disambut gelak mereka yang berada di mahkamah, termasuk Juraimi dan Maznah Ismail atau Mona Fandey.
Affandi, Mona dan Juraimi menghadapi tuduhan dengan niat bersama membunuh Datuk Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada Julai 1993.
Affandi juga menolak kenyataan Ikmal bahawa dia memberi air jampi kepada Juraimi sehingga tertuduh pertama hilang pendoman dan menurut saja arahannya.
Menurutnya, air jampi itu diberikan kepada sesiapa saja yang belajar silat dengannya. Katanya, dia juga pada bila-bila masa tidak mempunyai rancangan untuk menganiaya Juraimi yang dianggapnya sebagai anak sendiri. Dalam keterangan lain pula. Mazlan mengakui ada menyimpan patung Cina, India dan Siam di setiap rumah yang dia tinggal kerana keunikan dan seni ukirnya.
Affandi berkata patung-patung itu ditinggalkan oleh orang yang berubat dengannya.
Menurutnya, pertanyaan mengenai patung itu pernah dikemukakan oleh Juraimi Husin, ketika mereka tinggal di Teluk Gong pada 1991.
Affandi berkata patung-patung itu ditinggalkan oleh orang yang berubat dengannya.
Menurutnya, pertanyaan mengenai patung itu pernah dikemukakan oleh Juraimi Husin, ketika mereka tinggal di Teluk Gong pada 1991.
"Saya beritahu Juraimi, saya selalu mengubat orang. Kadangkala ada orang India, Cina dan Siam datang.
"Mereka (orang yang datang berubat) mempercayai jika patung itu ada di rumah, mereka akan sakit dan tidak boleh tidur.
"Mereka bawa patung itu untuk saya melihat dan menawari jika ada sesuatu yang ada pada patung itu," katanya ketika disoal peguambelanya, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan.
Affandi berkata, mereka meninggalkan patung itu di rumahnya dan ada yang tidak mengambilnya semula. Katanya, dia bimbang untuk membuang patung itu kerana mungkin pemiliknya mahu patung itu semula.
"Saya juga beritahu Juraimi, saya tidak anggap patung itu sebagai patung. Jika patung itu dibuat daripada besi, saya anggap besi. Kalau tanah, tanahlah dan kalau kaca, kacalah. Bukan istilah patung kepada saya," katanya.
Affandi juga mengakui dia mempunyai bilik memuja di setiap rumah yang mereka tinggal, tapi menurutnya, bilik itu adalah bilik untuk memuja kalimah Allah.
Aku berhenti - Cukup Sampai Di sini - ikut lagu Malek Ridzuan.
EPISOD 24
TENTU ada yang bertanya mengapa soal tongkat sakti dan songkok hikmat menjadi perkara penting dalam keterangan pembelaan tertuduh kedua dan ketiga kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris. Dua barang itu dikatakan sanggup dibeli Mazlan dengan harga RM2.5 juta. Jumlah itu yang didakwa Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey hutang Mazlan kepada mereka. Itu dakwa Affandi dan Mona. Tapi berlainan pula dengan tertuduh pertama, Juraimi Husin. Dia mendakwa pasangan bomoh itu membunuh bekas Adun Batu
Talam itu kerana harta, duit dan kereta.
Talam itu kerana harta, duit dan kereta.
Juraimi berkata, Mona dan Affandi berniat membunuh Mazlan dan merancang pembunuhan itu sejak Jun 1993.
"Mona dan Affandi ada niat membunuh Datuk Mazlan kerana harta, duit dan kereta.
"Apa yang saya katakan ini bukanlah rekaan semata-mata untuk melepaskan diri daripada tuduhan membunuh Datuk Mazlan, tetapi adalah kenyataannya.
"Saya tidak bohong," katanya menjawab soalan peguambela Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Affandi dalam keterangannya pula menafikan tuduhan itu dan mendakwa pembunuhan itu dilakukan tanpa pengetahuan mereka oleh Juraimi seorang diri. Jadi kalau bukan kerana harta, mengapa geran tanah, wang dan kereta Mazlan bertukar tangan kepada pasangan bomoh itu. Aku tak mahu cerita panjang. kau orang baca aje keterangan Affandi.
Datuk Mazlan menyerahkan geran tanahnya kepada bomoh Affandi sebagai cagaran RM2 juta iaitu baki bayaran bagi azimat, songkok dan tongkat yang dikatakan boleh menjadikan Mazlan sebagai Menteri Besar.
Affandi berkata, Mazlan akan melunaskan bayaran RM2 juta itu selepas beliau berjaya dalam pemilihan bahagian Umno pada 1993.
Menurutnya, Mazlan menjelaskan RM500,000 sebagai cengkeram mendapatkan azimat, tongkat dan songkok yang semuanya bernilai RM2.5 juta kepadanya di Tanjung Lumpur pada 1993.
"Datuk Mazlan membawa duit itu dalam briefcase ke rumah saya di Tanjung Lumpur pada 1993.
"Dia membuka briefcase itu dan kemudian menyerahkan wang RM500,000 dan saya kemudian memberinya azimat, songkok dan tongkat itu," katanya.
Menurutnya, dia kemudian memberikan RM400,000 yang kebanyakannya dalam not RM1,000 kepada isterinya, ketika mereka berpindah dari Tanjung Lumpur ke Ulu Dong.
Affandi juga memberitahu mahkmah, Mazlan ada memberinya surat mengenai penjualan sebahagian tanahnya di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub kepada pasangan bomoh itu.
Menurutnya, dia membeli tanah itu dengan harga RM7,000, iaitu RM4,000 dibayar di Tanjung Lumpur dan RM3,000 lagi dijelaskan di Ulu Dong pada 1993.
Katanya, surat itu pernah ditunjukkan kepada saudara mara Mazlan, termasuk anak saudaranya, Noraini Abdul Rahman dan Tarmizi Abdul Rahman, selepas mereka kerap kali bertanya sama ada Mazlan sudah menjual tanah itu kepada Mona dan Affandi.
Dalam keterangannya, Mohd Affandi juga mengaku memalsukan tandatangan Datuk Mazlan dalam surat perjanjian jual beli tanah dan banglo milik bekas Adun Batu Talam itu di Jalan Semarak (dulu JalanGurney), Kuala Lumpur, Julai 1993.
Affandi meniru tandatangan Mazlan berdasarkan sekeping surat Mazlan mengenai pembayaran RM250,000 bagi pembelian tanah dan rumah di Jalan Gurney.
"Saya telah meniru tandatangan Datuk Mazlan berdasarkan surat itu dan menurunkannya dalam surat perjanjian jula beli itu," katanya.
Menurutnya, urusan penyediaan surat perjanjian itu dilakukan oleh abangnya, Azmi dengan peguam Mohd Nashir Hussein dari syarikat guaman, Nashir Johal & Company.
Nashir dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa surat perjanjian itu bertarikh 6 Julai 1993. Menurutnya, dia juga tidak melihat Mazlan menandatangani surat perjanjian itu.
Affandi ketika ditanya peguambelanya, Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan, berkata surat Mazlan mengenai pembayaran RM250,000 itu disimpan dalam beg hitamnya.
Bagaimanapun, surat itu tidak ada dikemukakan di mahkamah.
InsyaAllah nanti aku sambung lagi..
No comments:
Post a Comment
Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.
Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.