Monday, July 18, 2011

Mona Fandey: Most Shocking Murdered Case In Malaysia (Episode 25-28)

EPISOD 25


KITA telah mendengar keterangan pembelaan diri tertuduh pertama, Juraimi Husin dan tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman dalam perbicaran kes bunuh Datuk Mazlan Idris
di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Juraimi sudah mengaku menetak leher Datuk Mazlan dengan kapak yang menyebabkan kematian bekas Adun Batu Talam itu. Affandi pula memberitahu mahkamah Juraimi melakukan perbuatan itu sendiri tanpa arahannya. Dia dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey tidak merancang atau terbabit dalam pembunuhan Datuk Mazlan. Bagaimana dengan Maznah Ismail atau Mona Fandey?

Mengikut rakaman percakapan beramarannya dia mengaku  terbabit dalam pembunuhan Datuk Mazlan. Rakaman percakapan beramaran itu diterima masuk sebagai barang kes  pada 21 November 1994. Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, berkata bukan Juraimi  Husin saja terbabit dalam pembunuhan Mazlan di rumah tidak  bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, pada malam 2 Julai 1993, malah Mona juga terbabit.

"Mona juga terbabit dalam pembunuhan itu melalui pengakuannya dalam rakaman percakapannya.

"Itulah yang saya katakan ada rancangan bersama untuk melakukan pembunuhan Datuk Mazlan pada malam itu," katanya. Apakah keterangan pembelaan Mona atas tuduhan itu.

Berbeza dengan Juraimi dan Affandi, Mona memilih untuk memberi kenyataan dari kandang orang kena tuduh tanpa boleh dicabar oleh sesiapa di Mahkamah Tinggi Temerloh pada awal 1995. Kes ini berlarutan hingga 1995.



Mona memilih untuk memberi kenyataan dalam kandang orang kena tuduh selepas jurubahasa mahkamah membacakan tiga pilihan untuk membuat pembelaan kepadanya.

HAKIM: Nama.

MONA: Nama saya Maznah Ismail atau Tengku Rohani Tengku Abdullah dan satu lagi Mona Fandey.

GULAM: Cakap kuat-kuat sikit kerana hakim hendak mencatat.

MONA: Selamat berbahagia kepada juri-juri, Timbalan Pendawaraya. Saya tertuduh ketiga, Mona atau Mona Fandey dan suami saya,  Encik Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman), tertuduh ketiga.

HAKIM: Apa ceritanya.

MONA: Saya dan suami saya tidak merancang dan tidak langsung berniat atau apa-apa sekalipun mengakibatkan Datuk Mazlan (Datuk Idros @ Mohd  Mazlan Idris) dibunuh.  Saya dan suami saya, hidup mewah, apa dikatakan dalam rumah tangga bahagia, yang mana saya dan suami saya bagaikan orang politik yang sanggup bersusah payah, tanpa pentingkan puji dan puja. Saya katakan dalam politik kami suami isteri, bertanggungjawab sebagai warga negara Malaysia. Kami sedia membantu negara. Apa dikatakan rukun dan damai dalam masyarakat berbilang kaum, tak kira warna kulit atau bangsa.Itulah perjuangan saya dan suami saya, hingga titisan terakhir sekalipun, penuh jiwa dan semangat.

MONA: Bacakan semula Yang Arif (Hakim Datuk Mokhtar Sidin  kemudian membacakan peranggan terakhir kenyataan Mona).

MONA: Di mana-mana saya dan suami saya hidup, kami membantu dan apa juga sekalipun terpaksa bersusah payah siang dan malam, seperti yang suami saya terangkan (dalam mahkamah). Yang mana kami duduk di Taman Sri Andalas, Klang dan buat gelanggang silat serta kumpul anak-anak muda untuk kebaikan kepada negara. Semasa saya tinggal di Sri Andalas bersama suami dan anak saya, kami membuka satu cawangan baru Umno di Jalan Kebun Kelapa, Klang iaitu Umno cawangan Kebun Kelapa.

Sebelum itu belum wujud lagi, Alhamdulillah telah berjaya. Selepas itu datang Ketua Pemuda, Sanip namanya di Kampung Teluk Gong suruh kami pindah ke Teluk Gong seperti mana
apa yang dicakapkan oleh Encik Affandi, begitulah seterusnya.

Saya berpindah ke Teluk Gong dan duduk di Kampung Perajurit. Mula-mula sekali kami buka gelanggang di situlah kami kenal dengan Juraimi Husin (Mona beberapa kali menyebut Juraimi
sebagai Julaimi).

Saya katakan Yang Arif, di mana-mana anak murid seperti suami saya kata, tiada pilih kasih semua adalah sama, tiada anak emas atau anak perak. Pada malam itulah saya kenal Juriami yang mana dia panggil suami saya bapak dan saya ini ibu.

GULAM: Cakap perlahan-perlahan, tunggu Yang Arif habis catat baru sambung.

MONA: Ya, Yang Arif, saya anggap semua yang panggil saya ibu adalah seperti anak saya, saya ikhlas, tak tahulah anak itu anggap saya sebaliknya. Selepas Kampung Perajurit, kami pindah ke Kampung Nelayan. Bagaimana suami saya terangkan itu adalah benar.

Juriami bukan duduk dengan kita orang, dia pergi balik, pergi balik ke rumahnya, seperti guru dan anak murid, semua orang datang.

Saya ada seorang anak perempuan bernama Mazdiana Affendy binti Mohd Affandi.
Anak saya memang susah nak sayang orang atau dengan sesiapa anak murid saya, kerana saya sebagai seorang ibu mendidik dia dengan penuh tanggungjawab.

Anak saya menghormati sesiapa sekadar senyuman dan tegur, tapi dia tidak mahu dekat walaupun dengan saudara kami, abang dia, dia tetap dengan saya dan suami saya.

Saya juga hairan mengapa anak saya suka kepada Juriami. Yang buat saya hairan, bila dia tidur selalu sebut nama Juriami, tapi sebagai ibu yang menyayangi anak, kata orang kalau dah suka, terpaksa ikut kemahuan anak saya.

Anak saya memang boleh dikatakan kanak-kanak nakal, masa itu umurnya enam tahun, kalau tidak silap, enam tahun lebih, belum sekolah. Anak saya sudah biasa hidup mewah, shopping pilih tempat, tapi sejak kenal dengan Gondrong (Juraimi) ais krim tepi jalan pun dia makan.

Saya hairan anak saya, suka naik motor, tak pernah dalam hidup dia, baik bapak, mahu pun saya sendiri naik motor. Motor tu pulak dengan lampu tak ada.

HAKIM: Motor mana?

MONA: Motor dia (Juraimi), motor di tempat Juraimi tinggal.

MONA: Lesen pun tak ada, nombor plat pun tak ada. Bukan saya pandang hina, tidak sekali-kali mahu menjatuhkan anak angkat saya. Itu adalah kenyataan benar. Sepatutnya dia (Juriami) kena fikir, macam Juraimi, apakah itu tidak menyusahkan budak itu yang masih kecil dan tidak ingat kepada ibu bapa dia.

Saya sendiri dan suami saya, sudah tentu bimbang dan risau, yang mana saya sendiri tidak tahu bagaimana Juraimi layan anak saya, maklumlah keadaan kanak-kanak. Itulah kanak-kanak menyusahkan kita orang tua dan sebagainya. Juraimi juga tahu, Mazdiana adalah buah hati pengarang jiwa saya kerana dia yang bongsu. Saya anggap anak saya seperti pelita hidup saya.

(Jam dinding mahkamah menunjukkan jam 10.55, air mata Mona bercucuran ketika menceritakan kisah anaknya itu).

Ya sebagai ibu, Yang Arif dan sebagai bapak, dapat fahami perasaan seorang ibu.
(sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan).

Bagaimanapun, saya tetap tersenyum menerima apa yang terjadi kepada anak saya. Saya tetap terima apa yang terjadi pada saya.

Anak saya tidak pernah cakap bohong ketika dengan saya. Kalau pergi shopping, saya dan bapaknya, bayar duit.

Tapi bila rapat dengan Gondrong, dia sanggup curi duit beri kepada Gondrong.

Cuba Yang Arif fikir, budak itu bodoh, enam tahun, tiap-tiap hari nak ke kedai, tak kira malam.

Yang Gondrong pun tak boleh fikir ke, kalau tak siang, malam, walaupun kedai itu tak jauh, dalam kampung.


Begitulah, anak saya sikapnya telah berubah. Oleh kerana itu, di situlah Gondrong mengikut saya pergi dengan alasan untuk menuntut konon. Selepas itu saya pindah di PJ (Petaling Jaya) di situlah Gondong tinggal di rumah saya dan Affandi. Dia juga selalu  menelefon, Encik Affandi selalu bekerja, kadang-kadang nak cakap dengan suami saya pun susah. Encik Affandi seperti apa yang kita tengok dalam mahkamah, dia cakap lemah lembut, dia tak banyak cakap. Sepatah cakap, kata orang kalau tanya itu, itulah jawabnya. Saya dah kahwin dengan dia 10, 11 tahun.

Suami saya, semasa di PJ, seperti apa yang suami saya terangkan di mahkamah adalah benar, kami ada RM400,000. Kami sentiasa ada RM200,000 hingga RM300,000, hanya orang mewah saja yang tahu (kehidupan kami). Suami saya rajin bekerja seperti bomoh, masuk susuk dan (jual) azimat seperti yang diterangkan di mahkamah. Saya dan suami saya suka pergi hotel besar seperti Shangri-La, Merlin (sekarang Concorde) dan Park Royal, Kuala Lumpur. Walaupun kami ada rumah di mana-mana kami tinggal di KL, kami tidak balik ke rumah, duduk di hotel bila-bila suka.

Kami cakap dengan orang yang berjaya, macam kami yang banyak duit. Seperti suami saya katakan, kami memiliki kereta mewah seperti Jaguar (bernombor pendaftaran) BCP 98 warna kelabu milik saya, Mercedes Benz 280 WBL 2556 berwarna hijau,  Trooper WBN 900 warna biru, BMW 5 siri dan 3 siri serta Station Wagon dan banyak kereta lagi. Saya tidak hairan siapa nak pinjam, siapa nak pakai, macam Lawyer Latiff (saksi pendakwa ke-33 Abdul Latiff Ahmad) yang kata hendak pinjam BMW tiga siri saya. Kata nak pinjam sehari, tapi sampai sebulan hingga putus coil. Coil BMW bukannya murah, tapi saya tiak kisah, boleh beli baru.
Walaupun yang pakai itu saudara saya, yang beli adalah suami saya. Dia tidak boleh ceduk saya, saya bukan nak buruk-burukkan saudara sendiri.

Saya maksudkan Lawyer Latiff yang beri keterangan dalam mahkamah. Suami saya Encik Affandi murah hati, tak kisah duit ringgit. Begitu juga dengan kawan, rakannya, tapi saya selalu jaga suami saya.

Kalau ada orang nak ajak Encik Affandi keluar, bukan saya tak beri. Saya beri, tapi tengok tengok keadaan, kalau sakit, demam, kematian jemput ke majlis politik ke. Itupun saya pergi sama. Di sinilah dikatakan Encik Affandi berlagak, dikatakan sombong.

Di sini saya katakan, ada yang kenal dia dan lebih faham dan kenal dia (Affandi). Siapa tak kenal Encik Affandi, good couple inthe town (pasangan bahagia), kami hidup begitulah.

Yang Arif, saya katakan apa-apa juga keterangan suami saya dari mula hingga hari ini (di mahkamah) benar belaka.

Pada 2 Julai 1993, hari itu adalah hari Jumaat, anak saya sekolah. YB (Yang Berhormat) Datuk Mazlan datang menjemput dan ambil Encik Affandi ke KL. Pergi meeting (mesyuarat), buat kerja-kerja politik dan sebagainya.

Yang Berhormat Datuk dan suami saya, apabila habis meeting suruh saya siap. Datuk kata, nanti balik ambil kakak (Mona) pergi KL, nak pergi rumah (Menteri Pertahanan) Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak).

Sebelah pagi, saya menunggu kepulangan suami saya dan Datuk. Mereka balik ke rumah saya (di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub) pada jam 11 malam.

Sampai di rumah, Juraimi buka pintu gate (pagar). Datuk parking (letak) kereta di rumah yang belum siap lagi.

Saya menunggu ketibaan suami dan Datuk di muka pintu. Saya bertanya Datuk, awat lambat balik, macam mana meeting.

Datuk jawab, dah selesai, dah beres.

Mereka pun masuk dan terus duduk. Saya tanya lagi, jadi ke KL kita ni.

Jadi, kata Datuk.

Datuk dan suami saya duduk dan sembang-sembang. Dalam sembang-sembang, Datuk kata, mengapa saya rasa lemah lemah semangat. Saya rasa nak mandilah abang haji (Affandi).

Selepas itu kata suami saya kepada Datuk, ada bawa kain.

Biasanya bawa, Datuk kata lagi. Abang haji, tolong perasap tongkat, songkok dan azimat ni, kata Datuk.

Yalah, kata suami saya. Suami saya kata, kepada saya, yang pergi ambil bunga orkid. Suami saya panggil saya, sayang, yang.

Datuk keluar dari kereta dan saya besama Datuk masuk ke rumah. Tempat saya ambil orkid dekat dengan tempat Datuk letak kereta, pasal pokok itu banyak dekat rumah saya.

Datuk masuk dan serahkan tongkat, songkok dan azimat itu kepada Affandi untuk diperasapkan. Datuk juga bawa briefcasenya sekali.

Kemudian Affandi suruh saya masuk dalam bilik dengan Datuk.

Datuk membuka jamnya dan beri kepada saya. Pakailah, kata Datuk.

Saya gelak, pasal tangan saya kecil (sambil menunjukkan pergelangan tangannya dan tergelak kecil). Gondrong pun ada pada masa itu, keluar masuk dari dapur.

Datuk kemudian buka baju, pistol dia cabut keluar dan letak di depannya. Atas carpet (permaidani).

Baju Datuk warna putih, lengan pendek dan Datuk kemudian tukar kain.  Saya keluar (dari bilik) dan serahkan tongkat, songkok dan azimat kepada Datuk.

Kemudian Datuk ambil dan letakkan atas organ. Datuk kemudian ambil pistol dan azimat, masukkan dalam briefcase dan tutup.

Datuk kemudian ambil songkok dan tongkat atas organ dan letakkan pula atas briefcase itu.

Macam ini Yang Arif. (Mona mengambil sapu tangan yang digunakan mengesat air matanya tadi dan diletakkan di atas pagar kandang tertuduh. Dia kemudian membuka sapu tangan itu, seolah-olah Mazlan membuka briefcase dan tutup semula.

(Kemudian Mona menunjukkan tongkat dan songkok yang diletakkan oleh Mazlan di atas briefcasenya, di atas sapu tangan itu.)

Ketika itu anak saya tidur. Suami saya kemudian suruh Juraimi ambil besen. Kami bertiga ada menunggu dalam bilik, tempat kejadian.

HAKIM: Kami bertiga itu siapa?

MONA: Saya, suami saya dan Datuk Mazlan.

MONA: Juraimi kemudian membawa masuk besen yang mana barang-barang seperti sintuk, bunga orkid, keris, kapak biasa dan parang diletakkan dalam besen itu.Selepas itu Datuk Mazlan tidur mengiring, saya memasang lilin 21 batang, apabila telah siap lilin dipasang, suami saya tutup lampu.

Habis itu, suami saya suruh saya jirus kepala Datuk. Kali pertama jirusan, suami saya kata, Rong ambil air, buang.

Ketika itu suami saya tunduk dan saya pun tunduk. Gondrong ambil besen dan buang air.

Barang-barang seperti keris, kapak dan parang tidak buang, suami saya keluarkan dulu, air saja dibuang.

MONA: Yang Arif baca balik.

MONA: Selepas itu Datuk tidur melentang semula. Encik Affandi menguap-guap muka Datuk (sambil menggayakan dengan tangan,cara Affandi meratakan air ke muka Mazlan), sambil mukanya tunduk sikit.

Pintu keluar masuk bilik itu terbuka. Maaf tadi terlupa nak cakap. Selepas itu, dengan tibatiba ada satu bunyi, macam rupp. Benda apa, saya tak pasti.

Tiba-tiba kapak besar itu, dengan cepat dan laju ke halkum Datuk dua kali. Tetakan pertama, percikan darahnya terkena baju saya sebelah kanan.

Saya tengok gigi Juraimi terkancing. Begini Yang Arif, begini. (Mona menunjukkan cara gigi Juraimi terkancing dengan badannya ke belakang).

Juraimi macam orang hilang pedoman. Matanya macam ini (sambil membeliakkan matanya dan gigi diketap rapat. Aksi Mona ini menyebabkan mereka yang berada di mahkamah ketawa).

Nak kata dia gila, tidak gila.
Suami saya terundur ke belakang. Saya tergamam. Saya terketar-ketar, maklumlah saya orang perempuan.

Suami saya tanya kepada Jurami, awat jadi jadi macam ini. Macam mana jadi macam ini.

Orang macam ini biar mampus, kata Juraimi.

Selepas itu, saya dengar suara anak saya menangis dan panggil saya, mama, mama.

Juraimi kata kepada saya, ibu, bapak bawa adik lari ke mana-mana. Biar Rong yang tanggung.

Saya dan Encik Affandi keluar (dari bilik tempat kejadian) dan Juraimi tutup pintu. Sebenarnya saya hendak ambil terus anak saya, tetapi memandangkan baju saya terkena darah, saya takut anak saya nampak, saya tanggalkan dan biarkan atas lantai.

Kelam kabut malam itu, Tuhan saja mengetahuinya. Saya cakap benar, demi Allah, jika saya cakap tak benar, saya terkeluar dari umat Nabi Muhammad. (Mona berhenti seketika, air matanya mula mengalir dan dia mengesatnya dengan sapu tangan. Tiba-tiba Mona bersuara tinggi dan memandang ke arah tempat duduk peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal dan Ikmal Hisam Idris di depan tempatnya memberi kenyataan).

MONA: Jangan ada yang cakap saya tak cakap benar. Apa hek, hek, hek (dirujuk kepada bunyi menyindir). Macam tak percaya saya cakap.

Encik Ikmal pun sama, terhegeh-hegeh apa cakap macam itu. Saya cakap betul, saya sedih.
(Peguambelanya, Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan kemudian menghampiri Mona dan menenangkannya).

MONA: Begitulah, kelam kabutnya kami pada malam itu. Encik Affandi tidak salin (pakaian). Mana-mana yang boleh ambil masa itu kami ambil, briefcase dia (Affandi). Kami masuk ke kereta Datuk.Sebelum keluar, kami terdengar bunyi dari jauh, sayup sayup,
tup, tup, tup. Tak tahulah apa dia (Juraimi) buat, ketuk bantal ke? Saya tak
tahulah. Kami masuk ke kereta, tak toleh kiri kanan dan terus  ke Hotel Plaza (Kuala Lumpur). Tak cakap apapun, ketakutan.

HAKIM: Puan Mona, kita berhenti di Hotel Plaza dan sambung semula Isnin ini.

Perbicaraan berhenti tepat jam 11.50 pagi dan akan disambung.


EPISOD 26


MAZNAH Ismail atau Mona Fandey memilih untuk memberi kenyataan dari kandang orang kena tuduh tanpa boleh dicabar oleh sesiapa di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mona berkata dia dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman kelam kabut pada malam pembunuhan Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris, 2 Julai 1993.

Menurutnya, mereka masuk ke kereta Mazlan bernombor pendaftaran CAA 5115 dan terus ke Hotel Plaza, Kuala Lumpur.

Mona meneruskan kenyataannya.

MONA: Sampai di Hotel Plaza, kami telefon abang Ku Yahya (Tengku Yahya Tengku Abdullah).

Seperti mana suami saya (Mohd Affandi Abdul Rahman) telah terangkan (di mahkamah), dari Hotel Plaza kami ke Pudu pada keesokannya.

Selepas ke Pudu kami ke Melaka, seperti mana suami saya terangkan.

Selepas itu kami bawa kereta (Mercedes Benz) MU 280 dari Melaka ke Park Royal.

Selepas itu, kereta itu dibawa repair (baiki), tukar tayar baru, dibersihkan. Kami berada di Park Royal seperti mana suami sayaterangkan di mahkamah ini.

Selepas itu, Tengku Yahya datang ke Park Royal. Seperti yang suami saya katakan memang niat nak cerita, tak jadi nak cerita.

Selepas itu saya bersama abang dan anak saya (Mazdiana Affendy) pergi shopping (membeli-belah) di Lot 10 (Kuala Lumpur).

Selepas itu saya pun balik (ke hotel). Seperti mana suami saya terangkan pada 8 hari bulan (8 Julai 1993) kami ke (Kampng Peruas), Ulu Dong ambil surat beranak, surat nikah dan surat
peribadi saya.Kami balik sekejap, lebih kurang 20 minit.Kami dengan Tengku Yahya, semua.

Di Park Royal ke Hospital Tung Shin. Selepas itu kami sewa di SUJ, USJ yang suami saya sebutkan. Sewa sebuah rumah. Pada 20 dan 21 Julai 1993, saya ditangkap di rumah saudara
saya, Tuan Ibrahim, Komando Bukit Aman.

Saya, suami saya, anak saya Mazdiana Affendy, bekas Mejar Azmi, abang ipar saya. Di mana suami saya telah terangkan di mahkamah ini.

Kami dibawa ke Balai Polis Jalan Hang Tuah (Kuala Lumpur) pada 21, 22 (Julai 1993). Di situ seperti mana suami saya terangkan kami berpisah.


Pada malam itu, saya dibawa balik ke rumah saya (di USJ, Subang Jaya) merampas segala barang saya.

Saya cakap pada Tuan Mahpop beg itu banyak barang penting.

Tuan Mahpop dan anggota lain membawa dua lori tayar besar.

Saya dibawa ke rumah saya, mula-mula saya tak tahu tujuan dibawa saya ke situ.

Saya tidak tahu tujuan dibawa saya ke situ. Polis arahkan saya duduk diam, suruh tengok-tengok saja, jangan cakap-cakap.

Saya kata, Tuan kalau nak ambil beg itu pergilah beritahu suami saya, tangkap sama-sama kerana beg ini suami saya punya.

Malam itu dia ambil semua barang-barang, langsir, walau apapun.

Saya pun ada melawak, kenapa tak kopak simen dan bubuh dalam lori. Dia orang diam aje.

Selepas itu saya pergi ke Bukit Aman, baru jumpa suami saya dan anak saya, Mazdiana.

Saya dibawa ke (Balai Polis) Jalan Travers (Kuala Lumpur) pada 23 Julai 1993.

Saya memberi caution statement (percakapan beramaran) kepada Idros Ayob, ASP (Penolong Penguasa) pada jam 4.15 petang. Empat suku, empat lima belas minit, serupakan.

Pada 24 Julai 1993, saya diambil lagi oleh orang yang sama. Saya katakan Yang Arif, pada 13 Ogos 1993, saya tak bagi caution statement kepada Tuan Takbir (Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd).

Pada 13 dan 14 Ogos 1993 saya tidak memberi apa-apa percakapan, walau apa juga.

Hanya saya hendak mengadu pada Tuan Takbir. Saya mengadu bagai bapak dan anak.

Saya mengadu, jangan seksa saya dalam bilik gelap, bilik itu kecil, tak ada tingkap, tak ada masuk angin, torture (dera) saya, jika tidak silap ingatan saya dari 25, 26, 27, 28, 29, 30
(Julai 1993) sampai 10 Ogos (1993). Tak tahu berapa lama, Yang Arif, tapi dia tak kesian dengan saya.

Makan tak tentu arah, tidur di (Balai Polis) Jalan Travers.

Dengan sakit saya, saya berkali-kali cakap dan saya dibawa ke Bukit Aman setiap hari. Tiada off, penat macam mana, merangkak pun pergi. Saya tak minta simpati dari tuan-tuan.

Saya katakan Tuan Takbir menganiaya saya. Takkanlah saya nak sua leher saya ke tali gantung. Saya tidak beri apa-apa pun percakapan kepada Takbir. Ini  libatkan semua tiga ekor. (Mona, Affandi dan Juraimi Husin).

Mentang-mentang dia ada besi atas bahu (pangkat). Dia tidak ingat kita ini manusia, akan mati. Tiada orang tongkat langit, Yang Arif.

Ada suatu ketika, saya tidak ingat hari bulan dan jam. Tuan Takbir ambil kayu tiga kaki setengah.

Tuan Takbir ambil kayu itu dan tunjukkan kepada saya dan kata aku tahu kau dan laki kau bunuh Mazlan. Dia tengking saya, sampai saya terketar-ketar.

Adakah dia tahu kesopanan dan kesusilaan apa dikatakan Rukun Negara tadi.

Saya kata, sebagai OKT seperti saya sudah tentulah Orang Kena Tuduh, OKT, sama ada salah atau tidak itu bukan hak dia. Saya kata inilah tempatnya (mahkamah), saya bercakap benar.

Saya rujuk keterangan saya, yang mana kata-kata kotor yang dilemparkan atas muka saya. Saya rasa tak payah sebut, masa saya angkat sumpah...

Yang Arif.

Affandi mana..., dia kata saya macam itu.

Hoi Mona, berapa banyak Menteri dan VIP dah kau...Dengarkah? Saya terdiam, jangan cakap tengking-tengking dengan saya. (Kali ini Mona dapat mengawal perasaannya daripada menitiskan air mata, ketika sesi perbicaraan dalam perbicaraan Mona
menangis). Dalam bilik itu, ada empat lelaki dan hanya seorang saja  perempuan, perempuan pun perempuan polis juga, termasuk Tuan Takbir, enam orang semuanya.

(Mona berhenti seketika. Dia kemudian membuka cekak  rambutnya berwarna hitam, kemudian menyisih rambut di bahagian hadapan kepalanya.

Kemudian dia membongkokkan kepalanya sambil menunjukkan parut di bahagian itu).



Inilah masa saya sakit, ketua juri boleh tengok, dicucuk macam kuih. Dah setahun maklumlah, tinggal parut.

Yang Arif sesungguhnya seikhlas hati saya memberi keterangan ini. Saya mengakhiri saya tidak langsung rancang atau pakat apa-apa sekalipun. Oleh kerana gara-gara Juraimi, terima kasih.


Mona bukan saksi pembela, dia hanya memberi keterangan. Jadi tiada soalan balas untuknya Selepas itu, pendakwa serta penguambela tertuduh membuat penggulungan kes. Tamat penggulungan kes - tujuh juri bersidanguntuk memutuskan sama ada Juraimi, Affandi dan Mona didapatibwesalah atau tidak membunuh Datuk Mazlan.


EPISOD 27


AKU dah bawakan keterangan saksi dan ketiga-tiga kes bunuh Datuk Mazlan idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994 dan 1995. Perbicaran yang pada awalnya boleh diselesaikan dua bulan berlarutan sampai enam bulan. Kali ini aku bawakan dulu hujah penggulungan peguambela tertuduh pertama, Juraimi Husin.

Bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris, menjadi korban pembunuhan untuk ilmu hitam berdasarkan kematiannya yang luar biasa. Peguambela Karam Singh Bhal berkata, saksi pendakwa kelapan, Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof telah memberi keterangan terperinci bagaimana jasad Mazlan dipotong 18 bahagian.

"Selepas meneliti cara jasad itu ditemui serta keadaan potongan bahagian itu, satu
manifestasi menarik timbul, di mana kematiannya adalah satu pembunuhan untuk korban ilmu hitam, orang bomoh.

"Di sini, kami hendak menyoal siapakah bomoh dalam kejadian
itu?

"Tertuduh kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) mengaku dia dan isterinya (Maznah Ismail atau Mona Fandey) adalah bomoh,sedangkan Juraimi tidak mengaku dia seorang bomoh," katanya.

Katanya, pembunuhan Mazlan di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong dipercayai berlaku tengah malam menjelang 3 Julai 1993.




"Ini bermakna pembunuhan itu berlaku sekitar tengah malam, masa sesuai untuk membuat korban bagi syaitan mengikutcerita dongeng, misteri dan kebanyakan kitab suci," katanya.

Seorang peguambela Juraimi, Ikmal Hisam Idris pula berhujah, tiga tetakan pada tulang keempat dengan potongan bersih dan licin; luka hirisan bersih; daging dicerai daripada tulang, abdomen dihiris serta zakar hilang, bukanlah perbuatan yang datang sendiri daripada Juraimi.

Menurutnya, perkara itu dilakukan untuk pembomohan, yang datang sendiri daripada Juraimi.



Menurutnya, perkara itu dilakukan untuk pembomohan, yang mana Affandi dan Mona sendiri mengaku mereka adalah bomoh.

"Jika Juraimi berniat membunuh Mazlan kerana dendam seperti yang dicadangkan
oleh Gulam (Mustaffa Nadar Ali Khan), adalah tidak munasabah Juraimi melakukan ini semua, cukup dengan memenggal kepala Mazlan," katanya.

Ikmal Hisam berkata, perbuatan sepertiini tidak akan datang daripada Juraimi sendiri kecuali fikiran tertuduh pertama tidak stabil. Ikmal Hisham dan Karam singh juga berhujah pembunuhan Datuk Mazlan mempunyai kaitan dengan niat untuk membolot harta dan wang ringgit bekas Adun Batu Talam itu.

Menurut mereka, Juraimi Husin tidak mempunyai sebarang niat atau motif untuk membunuh Mazlan.

Malah, kata mereka, tertuduh pertama tidak mendapat sebarang imbuhan lumayan daripada tindakannya membunuh Mazlan pada malam 2 Julai 1993.

Ikmal Hisham berkata, keterangan saksi menunjukkan, Juraimi tidak terbabit dalam sebarang kegiatan yang dilakukan oleh tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail
atau Mona Fandey.

Katanya, Juraimi tidak terbabit dalam penubuhan syarikat Diana Dignity Sdn Bhd, pembelian barang kemas, perabot dan perkakas elektrik serta rancangan menukar milik tanah dan kereta Mazlan yang membabitkan pasangan itu.



"Semua ini dilakukan tanpa kehadiran atau pengetahuan tertuduh pertama," katanya.

Karam pula berkata, Juraimi tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada pembunuhan yang dirancang oleh Affandi dan Mona.

Menurutnya, tertuduh ketiga hanya diberi RM1,680, termasuk  RM1,000 untuk makanan itik selepas malam pembunuhan.

"Di sini terbukti, Juraimi tidak mempunyai sebarang motif atau  niat untuk membunuh Mazlan," katanya.

Baca hujah penuh dalam siri ke-28.


EPISOD 28


PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi  Husin, menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 :

Di dalam kes yang berada di depan kita ada dua isu yang perlu penjelasan dan keterangan lanjut.

Isu pertama dalam kes ini adalah sama ada Orang Kena  Tuduh (OKT) pertama (Juraimi) mempunyai niat bersama seperti  yang diterangkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk melakukan pembunuhan ke atas bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris bersama-sama dengan OKT  kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan OKT ketiga (Maznah  Ismail atau Mona Fandey).

Isu kedua ialah adakah pembunuhan itu yang dilakukan oleh Juraimi menyebabkan OKT pertama dijatuhi hukuman di bawah  Seksyen 302 kanun yang sama jika sabit kesalahan.

Kata kunci di sini adalah niat yang membawa maksud hajat atau tujuan. Apabila kita mengatakan hajat atau tujuan ianya membawa  erti pula kepada sesuatu yang akan diperolehi atau didapati  sebagai imbuhan niat itu. Ia mestilah mempunyai rantaian penyebab atau 'chain of causationer'.

Sebagai contoh, dalam kes ini niat membunuh Mazlan mempunyai rantaian iaitu untuk membolot harta serta wang ringgitnya.

1. Persoalannya apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?
2. Adakah Juraimi mendapat keuntungan daripada pembunuhan itu?
3. Apakah natijah pembunuhan itu terhadap Juraimi?

Persoalan ini telah pun dijawab oleh saksi pendakwa dan  pembela. Juraimi tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk membunuh  Mazlan. Niat jahat hanya ada pada  Affandi dan Mona saja.

Ini jelas kerana daripada keterangan  saksi pendakwa ke-20,  Azmi Abdul Rahman yang mengatakan dia diminta menubuhkan syarikat dan memindahkan geran tanah milik Mazlan. Segala transaksi itu langsung tidak membabitkan Juraimi.

Saksi pendakwa ke-21, Mohd Nashir Hussein dan saksi ke-22, Kong Foo Mun serta saksi ke-33, Abdul Latiff Ahmad mengesahkan nama Juraimi tiada dalam apa-apa transaksi yang diuruskan oleh mereka.

Saksi pendakwa ke-24, pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Seng mengatakan Mona ada menjalankan pembedahan plastik untuk kecantikan. Perbelanjaan ini adalah hasil dari wang yang diperolehi daripada Mazlan, sedangkan OKT pertama ditinggalkan di (Kampung Peruas) Ulu Dong, dalam keadaan yang serba kekurangan dan daif.

Saksi ke-28, Tengku Yahya Tengku Abdullah juga mendapat nikmat daripada Affandi dan Mona.

Di sini jelas menunjukkan individu yang tidak ada kena mengena mendapat keuntungan seperti Azmi dan Tengku Yahya. Jika OKT pertama mempunyai kepentingan bersama OKT kedua
dan ketiga, sudah tentu Juraimi tidak ditinggalkan dalam serba kekurangan. Ini jelas bahawa Juraimi telah digunakan oleh OKT kedua dan  ketiga.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng, seorang pemandu yang baru dikenali juga mendapat nikmat. Dia
telah dijemput untuk menjadi rakankongsi untuk perniagaan kereta terpakai oleh Affandi, sedangkan OKT pertama langsung tidak dipedulikan.

Demikian juga dengan saksi pendakwa lain yang mengatakan bahawa Affandi dan Mona membelanjakan banyak wang ringgit  untuk kepentingan mereka berdua serta bermewah-mewah.

Sedangkan Juraimi hanya diberi pada mula RM180 dan kemudian
RM1,500, yang mana RM1,000 untuk beli makanan itik dan RM500 untuk makannya.

Di sini jelas dilihat taraf permakanan itik adalah lebih tinggi dan baik daripada taraf Juraimi sendiri.

Oleh yang demikian apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

Saya berhujah OKT pertama membunuh Mazlan tanpa sebarang niat kerana Maxim `Actus non facit reum nisi men sit rea' tidak ada pada OKT pertama.

`Men rea, guilty mind' atau suatu pemikiran jahat adalah penting dalam kes jenayah, tetapi ini tiada pada Juraimi. Walaupun dalam kes bunuh, motif tidak penting, tetapi motif  adalah penting untuk menentukan sama ada OKT pertama  bersalah mengikut Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu berada dalam  keadaan yang dia sendiri tidak dapat mengawal perbuatannya.

Juraimi telah mengatakan dia tidak sedar apa yang dilakukannya sebelum kejadian (malam pembunuhan pada 2 Julai 1993) dan hanya sedar semula setelah Affandi berjumpa dan menyentuhnya dia di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993.

Di mana OKT pertama secara spontan dan sukarela memberi  kerjasama sepenuhnya kepada polis seperti keterangan saksi ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar.

Keterangan yang mengatakan Affandi menyentuh Juraimi disokong oleh saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Keterangan ini nampak mudah, tetapi penting untuk menunjukkan  bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua kerana  ini dibuktikan sendiri oleh Affandi dalam keterangannya.

Affandi dengan bangga mengatakan bahawa dia telah memberi  air jampi kepada OKT pertama, lalu Juraimi boleh bersilat.

OKT kedua berkata lagi, dengan minum air jampi seseorang itu tidak boleh membuka langkahnya sendiri ikut sesuka hati.

Affandi juga berkata bahawa dengan sekali sentuh OKT pertama boleh menidurkan ayam.

Apabila ditanya dalam pemeriksaan balas, adakah untuk  memulihkan semula ayam ini juga perlu disentuh Affandi menjawab, ya.


Untuk itu, mahkamah mestilah melihat perkara ini dalam skop  yang lebih luas iaitu adalah dipercayai sebelum kejadian OKT  kedua telah memberi air jampi kepada OKT pertama, supaya  Juraimi menurut saja apa yang diarahkan kepadanya.

                                                          


Affandi turut menyentuhnya supaya lupa apa yang berlaku sehinggalah disentuh sekali lagi  pada 22 Julai 1993, yang mana OKT pertama sedar semula.

Menurut Mahpop, pada 19 Julai 1993, dia ke tempat kejadian bersama OKT  pertama, tetapi Juraimi sendiri tidak tahu apa tujuan dibawa ke sana.

Pada hari itu, Mahpop mengambil  pita video dan sijil-sijil saham yang  disimpan dalam laci almari besi kepunyaan Affandi, tanpa ditunjuk Juraimi.

Mahpop apabila ditanya Gulam, berkata Juraimi tidak memberi kerjasama seperti 22 Julai 1993.

Apabila saya menyoal balas Mahpop  sama ada OKT pertama patuh kepada OKT kedua, saksi ke-56 itu bersetuju. Ini membuktikan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng juga mengatakan Juraimi patuh kepada Affandi.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku  dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua.
Mona berdiri di kandang tertuduh untuk memberi kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.

Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.