MELAKA 22 Jun - Kira-kira 20 daripada 60 ekor haiwan pelbagai spesies yang dirampas oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dari Zoo Saleng dekat Kulaijaya, kelmarin diserahkan kepada Zoo Melaka, malam tadi.
Penolong Pengarah Zoo Melaka, Noor Zakiah Anum Mohd. Noh berkata, ia terdiri daripada sembilan ekor harimau belang termasuk tujuh anak, empat ekor landak raya, enam ekor burung unta dan seekor ular tedung selar.
Menurutnya setakat ini, kesemua haiwan yang dilindungi itu ketika tiba di Zoo Melaka kira-kira pukul 8.30 malam tadi berada dalam keadaan baik dan terkawal.
"Seramai 40 anggota termasuk kakitangan Zoo Saleng membantu pihak kami melakukan kerja-kerja pemindahan dan semuanya selesai kira-kira pukul 11 malam," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan kerja-kerja pemindahan haiwan terbabit di Zoo Melaka.
Kelmarin, Perhilitan Johor merampas lebih 60 ekor haiwan pelbagai spesies yang dilindungi dari Zoo Saleng selepas permit khas pemilikan zoo tersebut tidak diperbaharui pihak berkuasa.
Ini kerana, zoo persendirian yang beroperasi sejak 17 tahun lalu itu tidak mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut selepas dipercayai melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Menurut Noor Zakiah Anum, kesemua haiwan yang dipindahkan dari Zoo Saleng akan dikuarantin selama tiga hari.
"Sama ada haiwan ini akan terus tinggal di sini (Zoo Melaka) atau sebaliknya, ia terpulang kepada arahan ibu pejabat (Perhilitan).
"Buat sementara ini, kita hanya akan memantau keadaan harian dan tahap kesihatan kesemua haiwan ini bagi memastikan haiwan ini sihat," katanya.
Menurut Noor Zakiah Anum, pihaknya menawarkan diri untuk menjaga kesemua haiwan tersebut dan ditempatkan di Zoo Melaka.
Pada masa ini, terdapat lebih 1,500 haiwan pelbagai spesies ditempatkan di Zoo Melaka.
Sumber:
Harap-harap lulusla projek Rescue Centre PERHILITAN dalam RP-2 nanti...Amin...
No comments:
Post a Comment
Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.
Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.