Source: Abzarul Mohd Kamil on Saturday, December 17, 2011 at 1:27pm.
“Stoning people to the death, don’t it is sounds a bit barbaric to you?”
Itulah persoalan yang terkeluar daripada mulut sorang mat saleh, selepas beberapa ketika aku memperkenalkan namaku sebagai ‘Muhammad’. Masa itu aku sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
Ceritanya cenggini, pada hari itu aku duduk bersebelahan seorang warga England yang dah tua. Pada mulanya aku ignore je orang tua tu, takut dia tanya soalan macam-macam. Aku cukup elergik speaking london ni! Jadi bila dia tanya sepatah aku pun jawab sepatah la jugak. Tapi lepas aku dengar soalan dia tadi, tiba-tiba spontan aku jawab:
“Uh.. er.. no barbarican sir! I think the Law of Stoning is not barbaric sir..”
Hati aku berdebar-debar sebab aku tau mat saleh ni akan tanya soalan lagi!
“Umm.. I’m sorry. I mean no insult. But this kind of law, it creates so many fears and frights. Stoning people to the death, what a horrible punishment even for the sin of adultery! Don’t you ever think of that, my son?”
My son? Aku rasa aku tau sapa mat saleh ni! Aku kumpul napas dan kumpul vocabulary dalam otak, lepas tu aku kasi tau sama dia:
“The law is an Islamic Law, sir. But by the fact, it was the same law that had been practiced by Moses, and had been enforced during the time of Jesus too..”
Aku berenti sekejap, sambil pikir apa lagi nak goreng. Mat saleh tadi senyum-senyum. Aku kenal benar senyuman macam tu. Itu senyuman orang yang penuh berilmu, orang yang sedang menilai tahap pemikiran aku melalui setiap patah perkataan yang aku ucapkan. Lantak la! Aku pun goreng lagi:
“Islamic law is not barbaric. It does not create fears and frights. Do not be afraid of it, sir. The one who should afraid is the one who steals and the one who kills; the sinners. But me and you sir, we don’t steal and we don’t kill… then why must we afraid of the law…?”
Perbualan kami berterusan sampai la mendarat di Kota Kinabalu. Tapi terus terang aku cakap, aku telah tewas dalam perdebatan itu. Aku yang jahil dengan ilmu agama, aku yang tak berapa fasih speaking London. Adui! Tapi takpelah, sekurang-kurangnya aku dah cuba memperbetulkan tanggapan dia terhadap undang-undang Islam. Mudah-mudahan dia akan paham.
Dari peristiwa tersebut, aku dapat gambaran akan pandangan seorang mat saleh terhadap undang-undang Islam. Aku percaya persoalan dan pandangan mat saleh tadi adalah lahir dari hatinya yang jujur, aku yakin dia tidak berniat menghina islam.
Cuma isunya, MENGAPA PANDANGAN MANUSIA TERHADAP UNDANG-UNDANG ISLAM ADALAH SEBEGITU RUPA? Mengapa undang-undang islam terutamanya Undang-Undang Hudud dilihat sebagai tidak adil, bahkan kejam, tidak munasabah dan BARBARIC?
Aku rasa penting untuk diperjelaskan perkara ini. Bukan kerana agenda politik atau kepentingan mana-mana pihak, tetapi demi memperbetulkan tanggapan manusia terhadap Islam. Ini kerana undang-undang Hudud itu merupakan undang-undang Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an. Salah faham manusia terhadap Hudud akan menyebabkan salah faham terhadap al-Qur’an. Bahkan mungkin menyebabkan salah faham manusia terhadap Allah sendiri, lalu mengakibatkan manusia tidak terlihat sifat-sifatNya yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
Salah faham inilah yang terjadi kepada mat saleh itu. Daripada perbualannya nampak benar dia inginkan kepastian: adakah Tuhan orang Islam sebegini kejam kerana menetapkan undang-undang yang sedemikian rupa?
Salah faham ini juga terjadi kepada orang-orang islam di Malaysia sendiri. Ada orang yang cakap macam ni:
“Kalau hudud jalan, abis la orang Malaysia kudung tangan!”
“Uish.. zalim gile. Semelih ayam pun tak putus leher, ni pancung sampai abis!”
“Kalau sebat seratus kali, jadi sambal belacan la budak tu!”
Ada jugak kawan-kawan aku yang menyangka potong kemaluan dan sula melalui dubur itu merupakan undang-undang hudud yang terkandung dalam al-Qur’an! Aku tidak kata mereka menghina Islam. Aku yakin seratus peratus mereka bukan menghina. Mereka cuma melahirkan satu penyataan yang jujur dari lubuk hati yang paling dalam.
Sebabnya? Kerana mereka tidak tahu.
Kenapa mereka tidak tahu? Kerana mereka TIDAK PERNAH DICERITAKAN mengenai apakah undang-undang Islam, dan apakah realiti undang-undang hudud yang sebenarnya.
Mintak maaf aku nak cakap, aku rasa agensi-agensi yang berkaitan masih belum pernah, atau mungkin pernah tapi sangat kurang memberikan penjelasan berkaitan isu-isu ini kepada umat Islam di Malaysia. Kalau adapun hanyalah dari pihak-pihak persendirian yang kurang gagah capaian dan sebaran maklumatnya.
Sedara-sedariku sekalian, izinkan aku berkongsi sedikit pengetahuan yang umum berkaitan undang-undang hudud. Berkongsi sedikit maklumat yang aku kutip melalui pembacaan dan pengajian aku di Universiti dulu. Mudah-mudahan dengan penerangan yang sedikit ini, boleh membantu golongan yang ada kebimbangan dalam hatinya, iaitu kebimbangan yang seperti ini: adakah aku masih dikira sebagai seorang Islam, sedang aku merasakan undang-undang hudud yang terkandung di dalam al-Qur’an adalah kejam?
Antara Undang-undang Hudud ialah hukuman sebat seratus kali kepada penzina bujang, hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang sudah berkahwin, hukuman sebat 80 kali kepada peminum arak, dan hukuman potong tangan kepada pencuri. Hukuman-hukuman ini jika dilihat memang tersangatlah sadis!
KEPERLUAN MENGEMUKAKAN SAKSI
Tetapi tahukah sedara-sedariku, tidak semudah itu menjatuhkan hudud kepada pesalah. Ianya tidak seperti membawa seorang pesalah ke mahkamah dan lawyer berkata: “Tuan hakim, dia adalah pencuri!” Lepas tu hakim pun kata: “Kasi potong tangan diaaa!”.
Ianya tidak semudah itu. Bahkan al-Qur’an menetapkan kriteria yang ketat untuk mensabitkan seseorang pesalah dalam kes hudud. Contohnya dalam kes minum arak, 2 orang saksi diperlukan, dalam kes zina pula empat orang saksi diperlukan. Begitu juga dengan kes-kes lain, saksi diperlukan bagi mensabitkan kesalahan tersebut kepada hudud. Ini bermakna jika sesuatu kes itu tidak mempunyai saksi atau bilangan saksi yang dikemukakan tidak menepati kehendak syarak, maka pesalah tadi tidak akan dikenakan hudud walaupun dia benar-benar melakukan kesalahan tersebut!
Okeh, jadi maksudnya kalu dah ada cukup saksi buleh sabit hudud la kan? Contohnya dalam satu kes kecurian, si lawyer berkata: “Tuan Hakim, dia ini pencurik dan ini 2 orang saksi yang melihat dia mencuri!” Lepas tu Hakim kata: “Kasi potong tangan diaaa!” Macam tu ke?
Jawapannya TIDAK! Ianya masih tidak semudah itu.
Saksi-saksi tadi perlu diteliti terlebih dahulu. Hakim perlu memastikan kredibiliti saksi yang dikemukakan. Latar belakang saksi, pandangan masyarakat setempat terhadap saksi, kebolehpercayaan saksi, sejarah silam saksi, semuanya akan diteliti oleh hakim bagi memastikan saksi tersebut benar-benar menyatakan kebenaran. Ini bermaksna jika saksi yang dikemukakan dalam sesuatu kes itu didapati tidak jujur atau tidak berkredibiliti, maka pesalah tadi tidak akan dikenakan hudud walaupun dia benar-benar melakukan kesalahan tersebut!
TIADA UNSUR SYUBHAH
Owh.. jadi maksudnya kalu dah ada cukup saksi, dan saksi itu pula telah dipastikan berkredibiliti, maka buleh sabit hudud la kan? Contohnya dalam satu kes kecurian, si lawyer berkata: “Tuan Hakim, dia ini pencuri dan ini 2 orang saksi yang melihat dia mencuri!” Selepas Hakim mendapati saksi-saksi itu memang jujur dan berkredibiliti, hakim pun jerit: “Kasi potong tangan diaaaa!” Macam tu ye?
Jawapannya lagi sekali TIDAK! Ianya tetap tidak semudah itu.
Walaupun setelah bilangan saksi seperti yang dikehendaki oleh syarak dikemukakan, dan walaupun saksi-saksi tersebut telah dipastikan sebagai seorang yang beriman dan berkredibiliti, Hakim masih perlu memastikan bahawa kes tiada unsur SYUBHAH. Apa itu syubhah? Syubhah ialah unsur yang mengetepikan pensabitan hudud.
Contoh Syubhah 1: Seorang lelaki telah ditangkap kerana melakukan jenayah mencuri. Namun pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu benar-benar terpaksa mencuri, dan diyakini jika dia tidak mencuri pada waktu itu maka anaknya akan mati kelaparan. Ini disebabkan lelaki itu memang benar-benar tiada jalan lain untuk mendapatkan wang dengan kadar segera, walaupun setelah dia meminta-meminta.
Contoh Syubhah 2: Seorang lelaki telah ditangkap kerana melakukan jenayah zina. Namun pemeriksaan lanjut mendapati dia berzina kerana benar-benar tersalah sangka bahawa wanita itu adalah isterinya (mungkin isterinya ada adik kembar dan pada malam itu bekalan elektrik terputus. Jangan gelak! Contoh macam ni ada dalam kitab la!)
Berdasarkan contoh di atas, maka dapat disimpulkan bahawa setiap perkara yang mempunyai unsur TERPAKSA, TERLUPA, TIDAK TAHU, dan TIDAK SENGAJA merupakan jenis-jenis Syubhah yang mengetepikan hudud ke atas seseorang pesalah, walaupun setelah bilangan saksi yang dikemukakan adalah mencukupi dan walaupun setelah saksi-saksi itu didapati berkredibiliti. Ini bermakna jika sesuatu kes itu mempunyai unsur Syubhah, maka pesalah tadi tidak akan dikenakan hudud walaupun dia benar-benar melakukan kesalahan tersebut!
Macam tu punya susah nak sabitkan pesalah hudud. So, sapa kata undang-undang Hudud kejam? Sapa kata Islam suka-suka nak potong tangan orang? Sapa kata Allah senang-senang nak suruh manusia sebat manusia lain seratus kali?
HUKUMAN SEBAT
Bab sebab seratus kali ni pun, ramai juga di antara kita yang tidak mandapat maklumat sebenar. Sebat lapan puluh kali ke, sebat seratus kali ke, ianya tidak sama seperti hukuman sebat biasa. Hukuman sebat dalam Hudud ialah sebatan yang bertujuan mendidik pesalah dan memberi pengajaran kepada orang lain. Itu sebabnya sebatan itu dibuat di tempat terbuka, supaya masyarakat yang melihatnya berasa insaf. Tidak seperti yang kita tonton, pesalah hudud yang akan disebat dimestikan berpakaian lengkap dan menutup aurat. Sebatan Hudud mungkin akan menyakitkan, tetapi sekali-kali tidak akan mencederakan! Tidak seperti hukuman sebat biasa yang menghayunkan rotan semahu hati, sebatan dalam hudud adalah sekadar ‘menyapu’ badan pesalah sahaja. Lengan tukang sebat dikepitkan ke ketiak bagi memastikan setiap hayunan tidak mencederakan pesalah. Sapa kata undang-undang Hudud kejam? Sapa kata barbaric?
HUKUMAN ALTERNATIF
Berbalik kepada tajuk KEPERLUAN MENGEMUKAKAN SAKSI dan TIADA UNSUR SYUBHAH tadi, apa akan terjadi kepada pesalah yang tidak disabitkan Hudud, walaupun dia benar-benar melakukan kesalahan tersebut? Adakah dia akan terlepas begitu saja?
Jawapannya tidak. Kekuasaan Allah melingkungi manusia di dunia dan di akhirat. Andai kata dia terlepas disebabkan saksi yang dikemukakan adalah tidak berkredibiliti (sedangkan dia benar-benar mencuri), maka terserah kepada Allah jualah pengadilan untuknya pada hari akhirat.
Namun begitu, Hakim masih berkuasa menjatuhkan hukuman alternatif yang dinamakan sebagai Hukuman Ta’zir. Hukuman Ta’zir merupakan hukuman yang ditentukan mengikut budi bicara hakim dan mengikut undang-undang setempat. Ianya terpakai bagi kes-kes selain Hudud, atau mungkin juga kes Hudud tetapi tidak mencapai darjah mensabitkan hukuman hudud (kerana masalah saksi tidak berkredibiliti, bilangan saksi tidak mecukupi atau ada unsur syubhah).
Contohnya bagi suatu kes kecurian, hukuman Hudud baginya ialah potong tangan. Namun disebabkan saksi yang dikemukakan tidak berkredibiliti atau ada unsur syubhah dalam kes, maka hukuman potong tangan tidak boleh disabitkan. Dalam hal ini, hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti denda, penjara atau kerja sosial kepada pesalah tersebut. Dengan syarat ada keterangan-keterangan lain (selain saksi) yang menyokong pertuduhan bahawa pesalah itu benar-benar mencuri.
Berdasarkan maklumat yang ringkas ini, sapa kata undang-undang Hudud tidak berperikemanusiaan? Sapa cakap Islam suka-suka nak potong tangan, nak rejam sampai mati, nak sebat? Sapa kata Undang-undang hudud menakutkan? Uh, by the way… kenapa pula ia menakutkan? Orang yang takut kepada hudud ialah orang yang mencuri, orang berzina, orang membunuh.. Kita tidak mencuri, kita tidak berzina dan tidak membunuh. Jadi kenapa perlu takut? Sebaliknya kita harus rasa selamat, harta kita selamat, maruah kita selamat, nyawa kita selamat…..
Aku mohon sedara-sedari perbetulkanlah kalau ada kesilapan maklumat yang aku nyatakan. Kita harus perjelaskan hakikat undang-undang hudud yang sebenarnya, supaya kita sedar Allah S.W.T. tidaklah sekejam yang disangkakan oleh mat saleh itu. Faedahnya untuk siapa? Untuk Allah? Tidak…. Usaha kita explain tentang undang-undang Hudud ni tidak mendatangkan apa faedah pun kepada Allah. Sebab Allah memang Maha Terpuji. Dia sentiasa Mulia dan Terpuji. Dia tidak perlukan kita untuk menjadikan-Nya mulia dan terpuji. Faedahnya adalah untuk kita semua. Untuk adik-adik kita, untuk kawan-kawan kita. Faedah mengetahui bahawa Allah itu Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.....
"Penulis merupakan rakan sejawat aku. Seorang PTD yang backgroundnya syariah dari UM ..ada diploma Qadi dari UIA...ok what PTD daripelbagai latar belakang pendidikan? Tak semestinya dia jadi ustaz kan????????? ...Itula uniknya PTD....
By the way, beliau masih bujang trang tang tang..sesapa yang berminat boleh emel kepada aku.."
No comments:
Post a Comment
Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.
Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.