EPISOD AKHIR
TANGGAL 10 Februari 1995, itulah kali terakhir aku bertemu muka dengan Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Husin. Pada hari itu, aku bertemu Monad dan Affandi di Balai Polis Temerloh, Pahang. Di sini mereka ditahan sehari selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana dengan niat bersama membunuh bekas Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. Juraimi pula ditahan di Balai Polis Raub. Dari sini Mona dibawa ke Penjara Kajang, sementara Affandi dan Juraimi ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu rayuan masing-masing.
Memang rezeki aku dapat bertemu Mona. Apa tidaknya, aku mendapat tips bahawa Mona dan Affandi akan dibawa ke penjara pada awal pagi itu. Aku bergegas ke balai polis dari hotel, tempat menginap dengan hanya memakai kemej-T. Pakai apa saja yang ringkas, takut tidak dapat bertemu mereka. Nasib baik, Mona baru dibawa keluar dari lokap. Tapi pada waktu itu, aku tidak sempat bercakap dengannya kerana diiringi polis. Namun, sebagai wartawan, aku tidak mengalah dan buat apa saja asalkan Mona buka mulut. Apabila peluang tiba, soalan pertama yang keluar dari mulut aku adalah :"Wah glamourlah Kak Mona." Itu kata orang soalan pemanis mulut - pembuka bicara - untuk memancing dia bercakap. Nak tahu apa Mona jawab : "Saya tak mahu glamour. Dari dulu pun saya tak glamour."
GAYA ketika menghadiri perbicaraan. Mona sering berpakaian cantik dan seksi serta berdandan sepanjang perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris.
Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian cantik. Jawapanny agak laser, katanya dalam sinis : "Yalah, takkan hendak telanjang pulak." (Ambil kau, kena sebiji).
Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu.
"Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya dari trak polis yang membawanya ke Penjara Kajang.
Pada hari itu, Mona seperti pada hari dijatuhkan hukuman, kelihatan riang dan ketawa dengan anggota polis yang berada di situ.
Bomoh itu sempat juga bergurau dan mengucapkan Selamat tinggal kepada anggota polis di balai itu.
Mona dan suaminya, Affandi serta Juraimi, didapati bersalah mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mereka didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada Julai 1993.
Mona sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua orang sambil berkata: "Saya sayang orang Malaysia. Terima kasih." Ditanya perasaannya yang menjadi pesalah dan bukan lagitertuduh katanya: "Saya sama saja dari dulu. Orang tengok pun macam itu."
Sebelum trak polis meninggalkan perkarangan Balai Polis di sini untuk ke Balai Polis Raub mengambil Juraimi, Mona sempat berpesan: "Jangan tulis bukan-bukan. Saya tidak suka apa saya katakan ditokok tambah. Jangan tulis sebarangan, jangan buat cerita." (Kena sebiji lagi)
Apa yang dibawa Mona ke penjara? Aku nampak lima bungkusan plastik mengandungi pakaian dan alat solek Mona dan suaminya Affandi.
Itu cerita Mona, lain pula cerita Affandi. Aku ingat peluang untuk bercakap dengannya buat kali
terakhir tidak kesampaian. Apa tidaknya, ketika sibuk 'memburu' Mona, Affandi sudah masuk ke dalam trak untuk ke Penjara Sungai Buloh.
Tapi, kata orang kalau ada rezeki, tak ke mana. Ketika trak itu hendak beredar dari balai polis, Affandi berteriak dan memanggil aku.
JENAZAH Mona dan Affandi dikebumikan di Tanah Perkuburan Ahli-Ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang.
Pada Subuh 2 November 2001, Mona, Affandi dan Jurami menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan. Jenazah mereka selamat disempurna dan dikebumikan pada hari sama.Jenazah Mona dan dan Affandi dikebumikan sebelah menyebelah di Tanah Perkuburan Ahli-ahliKariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang.Jenazah Juraimi pula dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Al-Fatihah- Amin....
Terima kasih kepada semua pembaca yang sabar menunggu aku update kisah Mona Fandey dan pembunuhan Dato' Mazlan. Sesungguhnya niatku hanya ingin berkongsi pengalaman Webzone Attack yang mengikuti perbicaraan kes terakhir menggunakan sistem juri. Dan mungkin ada antara kita pada masa itu masih kecil lagi dan terpinga-pinga dan aku sendiri pada masa aku baru berusia sekitar 9-10 tahun. Aku yakin kes ini memang terlekat dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia yang lahir before 90s. Bukan niat mengata atau menghina tertuduh dan mangsa, namun hanya sekadar mengenang kembali antara peristiwa yang oernah tercatat dalam sejarah Malaysia. Sekarang ni pun makin dahsyat kes-kes pembunuhan sebagai contoh kes pembunuhan Sosilawati dan rakan (2010)-mayat di bakar, pembunuhan di Ampang (2011)-mayat dikerat 15 dan juga lain-lain kes pembunuhan kejam yang melibatkan jenayah seksual semata-mata untuk menutup bukti. Hakikat akhir zaman bahawa nafsu menguasai kita. Tribute untuk semua mangsa pembunuhan, Al-Fatihah untuk yang beragama Islam dan tak lupa juga Allahyarham Affandi, Mona dan Juraimi...semoga Allah mengampunkan dosa kita dan dosa mereka tanpa ada satu pun yang tertinggal.. Amin....
No comments:
Post a Comment
Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.
Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.