Monday, August 15, 2011

Mona Fandey: Most Shocking Murdered Case In Malaysia (Episod-32-34)

EPISOD 32

TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU
MONA FANDEY.

SEBELUM tujuh juri membuat keputusan terhadap ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes pembunuhan bekas Adun Batu Talam, Datuk idros @ Mohd Mazlan Idris, Hakim Datuk Mokhtar Sidin menggulung kesnya.  Berikut antara petikan penggulung kesnya.

"TUAN-tuan dan puan-puan para juri. Sekarang telah tiba masa bagi saya membuat penggulungan. Sebagaimana yang disedia maklum, perbicaraan telah berjalan lebih daripada tiga bulan sejak 12 September 1994, sungguhpun perbicaraan sebenar hanya 69 hari.

Pada 12 September 1994, juri berikrar untuk memberikan verdik (keputusan) yang sebenarnya berasaskan keterangan yang telah diberikan di perbicaraan ini.telah mendengar keterangan kedua-dua pihak iaitu pihak pendakwa dan pembela.

Kini kita berada di peringkat terakhir di mana saya dikehendaki menggulung perbicaraan ini. Ini juga peringkat juri dikehendaki membuat pertimbangan keputusan dalam perbicaraan ini. Inilah masanya juri dikehendaki memenuhi kewajipan seperti yang diikrarkan dulu.

Sungguhpun saya telah terangkan dengan ringkas  berkenaan dengan kewajipan juri dalam perbicaraan  setelah juri berikrar dulu, namun izinkan saya  terangkan tanggungjawab kita dengan lebih lanjut  lagi.

Kewajipan saya sebagai seorang hakim yang  membuat keputusan atau arahan mengenai  persoalan undang-undang. Saya hakim dari segi undang-undang manakala juri  adalah hakim dari segi fakta.

Juri bertanggungjawab memutuskan sama ketiga-tiga Orang Kena Tuduh (OKT) atau mana-mana daripada mereka bersalah atau tidak, berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dengan pertimbangan juri.

Untuk mendapatkan keputusan yang wajar, juri hendaklah pertimbangkan hanya keterangan dan fakta yang dikemukakan di mahkamah. Juri jangan dipengaruhi apa-apa perkara di luar mahkamah, laporan media massa, komen di luar mahkamah atau apa cara sekalipun. Juri adalah bebas untuk membuat keputusan, melahirkan pandangan serta kesimpulan berdasarkan keterangan yang diberikan dalam mahkamah.

Sekiranya saya memberikan pandangan mengenai saksi, juri boleh mengambil perhatian mengenai pandangan saya tetapi tidak terikat untuk ikut atau bersetuju dengan pandangan saya.

Bermakna di sini juri bebas untuk membuat keputusan sendiri mengenai apa-apa fakta atau keterangan tanpa dipengaruhi pandangan atau pendapat saya.

Bagaimanapun, ingin saya ingatkan berkaitan  dengan soal undang-undang, juri adalah terikat
dengan apa yang saya kata atau putuskan.

Jika saya katakan bahawa sesuatu itu adalah undang-undang, juri hendaklah terima kenyataan itu sebagai salah atau betul.

Juri hendaklah menerimapakai (apply)  undang-undang itu kepada fakta dari keterangan dalam kes ini.

Saya ingin menerangkan secara ringkas beberapa  prinsip undang-undang jenayah yang perlu diingatkan dan diterima pakai oleh juri di dalam kes ini.

Adalah menjadi prinsip utama dalam undang-undang jenayah bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah di sisi undang-undang sehingga dibuktikan bersalah.

Undang-undang tidak memerlukan OKT (orang kena tuduh) membuktikan  yang ia tidak bersalah dalam mahkamah. Sebaliknya pula, undang-undang ' memerlukan pihak pendakwa membuktikan bahawa OKT adalah bersalah seperti yang dituduh.

Kewajipan untuk membuktikan sesuatu di sisi undang-undang adalah  disebut sebagai beban (burden) membukti.

Beban membuktikan kesnya melampau sebarang keraguan yang munasabah di dalam bahasa Inggeris `beyond reasonable doubt' adalah  dipertanggungjawabkan kepada pendakwa.

Undang-undang tidak memerlukan pendakwa membuktikan kesnya hingga ke tahap 100 peratus sehingga tidak ada sebarang keraguan langsung.

Sekiranya juri setelah menilai semua keterangan  yang dikemukakan dalam perbicaraan ini, juri
masih khuatir sama ada OKT bersalah atau tidak, maka itu adalah keraguan yang munasabah. Ini adalah keraguan atau kekhuatiran yang wujud dan bersemadi dalam pemikiran juri.

Keraguan yang munasabah ini ialah satu-satunya keraguan yang serius yang menyebabkan juri
teragak-agak mengenai keputusan yang hendak diberikan.

Keraguan ini hendaklah timbul dari keterangan yang telah dikemukakan atau pun tidak
dikemukakan dalam mahkamah.

Keraguan inilah bukan keraguan yang tidak nyata yang hanya wujud dalam fikiran juri yang tidak
ada keterangan yang memadai.

Sekiranya pendakwa telah menghapuskan semua keraguan dalam fikiran  juri, yang saya telah huraikan, maka barulah boleh dikatakan pendakwa  telah membuktikan kes terhadap OKT hingga melampui keraguan yang munasabah.

Beban pembuktian pembela tidak berat. Kewajipan pembela hanya menimbulkan keraguan terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap OKT. Pendakwa tidak perlu meyakinkan juri mengenai kes ini. Adalah memadai bagi pembela mengemukakan cerita OKT dan menimbulkan keraguan yang munasabah serta mungkin benar. Berikan manfaat kesangsian kepada pembelaan juri tidak pasti sama ada OKT bersalah atau tidak berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pembela dan pendakwa.

Juri harus ingat bahawa juri bukan saja bertanggungjawab terhadap OKT tetapi juga kepada masyarakat dan negara bagi memastikan OKT mendapat perbicaraan yang adil. Saya yakin juri dapat menjalankan tanggungjawab sambil menegakkan keadilan.

Menurut Seksyen 300 Kanun Kesesakan ada lima pengecualian bagi mengetepikan tuduhan membunuh dengan niat.

Bagaimanapun kelima-lima pengecualian ini tidak diterima pakai dalam kes ini. Sekiranya juri berpuas hati pendakwa membuktikan ada rancangan untuk membunuh si mati (Mazlan) untuk ambil wang maka ia tidak mengambil kira siapa yang melakukan pembunuhan itu. Bagi membuktikan ada niat dalam pembunuhan itu pendakwa perlu membuktikan unsur berikut:

* Bahawa Mazlan mati di antara 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993.

* Bahawa kematian si mati adalah disebabkan perbuatan ketiga-tiga OKT atas niat bersama.

* Bahawa ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan dengan niat dan pengetahuan bersama.

Unsur pertama - (antaranya) si mati kali terakhir dilihat berada bersama OKT 2 berdasarkan keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah oleh pendakwa. Keterangan saksi menunjukkan si mati dilihat kali terakhir bersama OKT 2 pada 2 Julai 1993, jam 11 malam sebelum si mati dilaporkan hilang.

Unsur kedua - (antaranya) pendakwa berjaya membuktikan bahawa kematian si mati berpunca daripada perbuatan ketiga-tiga OKT yang melakukan pembunuhan dengan niat bersama.

Unsur ketiga - (antaranya) penemuan sijil saham si mati di rumah tertuduh dan keterangan itu tidak dipertikaian oleh pembela. Pemberian jam tangan si mati kepada abang OKT 2 menunjukkan OKT 2 berada di tempat pembunuhan. Tambahan pula dia sendiri mengaku meniru tandatangan si mati bagi menukar hak milik si mati.

OKT 3 sendiri ketika dibawa oleh polis ke tempat kejadian pada pagi 2
Julai 1993 telah menunjukkan tempat mayat si mati ditanam dengan muncung mulut di samping menunjukkan tempat beberapa barang kes ditemui. Tempat penemuan mayat tidak dipertikaian oleh pembela kerana pendakwa telah membuktikan bahawa ketiga-tiga OKT tinggal di rumah berkenaan ketika pembunuhan berlaku.

Mayat yang ditemui di rumah itu turut disahkan oleh isteri dan sepupu si mati dengan keterangan sokongan pakar gigi. Keterangan pakar forensik bahawa kemungkinan si mati ditetak dengan kapak serta ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat si mati membuktikan ada niat dalam kes ini.

Pendakwa juga membuktikan bahawa pembunuh si mati mahu wang si mati kerana sebelum kematian si mati mengeluarkan lebih RM250,000 daripada beberapa bank dan ini disokong oleh keterangan saksi.

Simpanan wang ketiga-tiga OKT ketika kejadian tidak banyak. Sebelum si mati hilang mereka ada sekitar RM2,000. Selepas si mati hilang Affandi dan Mona telah berbelanja besar lebih RM200,000 dalam masa dua minggu. Juraimi turut dikatakan mendapat RM15,000.

Kebanyakan not RM1,000 yang dibelanjakan oleh Affandi dan Mona mempunyai hubungan dengan wang yang dikeluarkan oleh si mati yang kebanyakannya not RM1,000.

Affandi dan Mona juga berusaha menjual kereta si mati sementara keterangan saksi turut menunjukkan Affandi berusaha memindahkan harta si mati dengan mendapat perkhidmatan peguam.

Keterangan keadaan berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi turut perlu dipertimbangkan sewajarnya serta teliti. Percakapan beramaran tidak boleh diambil kira oleh juri kerana ia hanya menyokong.

Juri juga jangan mengambil kira kejadian lain yang terkandung dalam percakapan beramaran tertuduh kerana seperti yang saya katakan tadi seseorang yang dituduh itu tidak bersalah selagi dibuktikan bersalah.

Percakapan beramaran tertuduh tetapi keterangan pendakwaraya semata-mata untuk menyokong kes mereka. Juraimi dan Affandi memberikan keterangan membela diri lebih dua minggu. Juraimi mengaku dia yang menetak si mati. Dia berkata dia tak sedar apa yang dilakukan dan hanya ikut arahan.

Pembelaan Juraimi adalah tiada niat untuk membunuh si mati tetapi hanya mengikut arahan. Juraimi berkata, ada rancangan dua minggu sebelum pembunuhan berlaku.

Affandi berkata, dia menjual tongkat dan songkok kepada si mati dengan harga RM2.5 juta di mana RM500,000 sudah dibayar manakala bakinya dijelaskan secara ansuran. Affandi berkata dia tidak tahu  mengapa Juraimi menetak si mati.

Dia berkata dia seorang yang  hidup mewah, pakai kereta mewah tetapi keterangannya tidak disokong.
Jadi timbul persoalan bagaimana  dia memiliki wang yang banyak.  Terpulang kepada juri untuk  membuat andaian mengenainya.

Affandi berkata dia ada simpan RM400,000 sejak di Petaling  Jaya (pada 1992) tetapi saya hairan kerana adalah tidak logik wang  sebanyak itu dibawa ke sana kemari ketika hidup di beberapa tempat.

Walaupun dia kata ada wang sebanyak itu namun keterangan saksi menunjukkan dia berhutang untuk membeli keperluan dapur.

Pembela juga gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menunjukkan Affandi dan Mona hidup senang lenang dan memiliki kereta mewah sedangkan semua itu dibuktikan dengan mudah sekiranya benar.

Malah dakwaan Affandi bahawa tongkat dan songkok yang dijual kepada si
 mati berhikmat tidak disokong oleh keterangan yang diberikan saksi pembela walaupun saksi pernah terbabit dengan penjualan benda itu kepada beberapa orang.

Pembela juga mendakwa Affandi dan Mona menjual surat sokongan berharga di antara RM2,000 dan RM3,000 tetapi gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menyokong kenyataan itu.

Hanya isteri Affandi, Mona yang memberikan keterangan menyokong suaminya. Tetapi keterangan itu tiada nilai kerana kebenarannya tidak dapat ditentukan.

Mona pula memberikan dari kandang tertuduh menyebabkan keterangannya tidak dapat diperiksa balas bagi membuktikan kebenarannya.

Juri boleh mengeluarkan keputusan berdasarkan tiga keadaan. Pertama, sekiranya setelah menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa dan pembela, juri berpuas bahawa pendakwa telah membuktikan kesnya terhadap ketiga-tiga OKT atau mana-mana OKT hingga tidak ada keraguan yang munasabah maka juri hendaklah memberi keputusan bersalah.
Kedua, sekiranya juri tidak berpuas hati atau berasa ragu-ragu yang ketiga-tiga OKT atau mana-mana OKT telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesakan tidak terjumlah kepada lima pengecualian maka juri boleh menimbangkan keputusan kesalahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Ketiga, sekiranya juri berpuas hati bahawa pendakwa telah gagal membuktikan kesnya atau ada keraguan yang munasabah bahawa OKT yang menyebabkan kematian si mati, maka juri hendaklah memberikan keputusan tidak bersalah.

Seterusnya reaksi tertuduh ketika keputusan juri diumumkan...


EPISOD 33

TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT: MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.

HAKIM : DATUK MOKHTAR SIDIN TEPAT jam 2.31 petang, tujuh juri membuat keputusan sebulat suara bahawa ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes bekas Adun Batu Talam bersalah menyebabkan kematian Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, UluDong, Raub Julai 1993.  Juraimi Husin (tertuduh pertama), Mohd Affandi Abdul Rahman (kedua) danMaznah Ismail atau Mona Fandey (ketiga), dijatuhi hukuman mati mandatori.

Reaksi tertuduh ketika keputusan penghakiman dibacakan Tiada tangisan, tapi senyuman diberikan oleh pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman ketika ketua juri memberi keputusan 7-0, bahawa mereka dan Juraimi Husin  bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris.

Juraimi pula terdiam sambil menahan sebak ketika ketua juri  menyampaikan keputusan sebulat suara itu kepada Hakim Datuk Mokhtar  Sidin.

Mona dan Affandi yang duduk bersebelahan di kandang tertuduh sempat berbual dan bergurau sebelum keputusan itu dibuat.

Selepas keputusan dibuat, Mona masih mampu tersenyum dan menjelirkan  lidahnya, sambil tergelak kecil memandang ke arah Affandi yang kelihatan tenang.

"I am very happy (saya gembira)," katanya dalam kandang tertuduh ketika di tanya mengenai keputusan itu sejurus hakim membacakan hukuman terhadapnya.

Affandi pula berkata: "Ini keputusan mahkamah, bukan keputusan Tuhan." Affandi sempat mengucup dahi Mona sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Hakim ketika membacakan hukuman itu berkata:

"Berikut adalah hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu satu hukuman mandatori. Saya tiada pilihan untuk menjatuhkan hukuman itu seperti berikut.

"Hukuman mahkamah terhadap kamu bertiga ialah kamu akan dibawa dari mahkamah ini ke penjara yang sah dan kamu akan dibawa ke suatu tempat di mana hukuman mati, iaitu gantung akan dijalankan."

Affandi, Mona dan Juraimi didapati bersalah membunuh Ahli Dewan  Undangan Negeri (Adun) Batu Talam itu dan dijatuhkan hukum mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Ketiga-tiga mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Hakim berkata, mereka berhak merayu secara automatik ke Mahkamah  Rayuan, walaupun Mona dan Affandi tidak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh ketika itu.

Peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal yang membuat rayuan bagi pihak Juraimi selepas Mokhtar membuat keputusannya, berkata Juraimi yang berusia 23 tahun ketika melakukan pembunuhan itu tidak mendapat  pendidikan tinggi, setakat darjah tiga.

Katanya, Juraimi anak kedua daripada enam beradik juga tidak mempunyai pekerjaan. "Dia juga seorang yang jujur dan taat kepada ibu bapa serta tidak pernah melakukan kesalahan jenayah sebelum ini. Saya merayu kepada mahkamah untuk menimbang nasibnya dalam
kesalahan jenayah pertamanya," katanya.

Juraimi pula berkata: "Terpulang kepada jasa baik mahkamah." Peguambela Mona dan Affandi pula berkata, dia diarahkan oleh Mona dan Affandi untuk membawa keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. Affandi dan Mona berkata, mereka menerima keputusan mahkamah

Pendakwa kes bunuh Datuk Mazlan Idris berjaya membuktikan Juraimi, Affandi dan Mona atau Mona Fandey mempunyai niat untuk membunuh  bekas Adun Batu Talam itu.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang menggulung kes perbicaraan itu berkata, tiga unsur yang menunjukkan pasangan bomoh itu dan pembantu mereka mempunyai niat untuk membunuh Datuk Mazlan Berjaya dikemukakan oleh pendakwa melalui keterangan saksi.

Katanya, pendakwa membuktikan bahawa unsur pertama iaitu Mazlan mati di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 dan 12 tengah malam 8 Julai 1993 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong Raub.

Unsur kedua kematian Mazlan adalah disebabkan perbuatan ketiga tertuduh atas niat bersama, sementara unsur ketiga adalah semua tertuduh dengan niat serta pengetahuan menyebabkan kematian Mazlan turut dibuktikan oleh pendakwa, katanya.

Menurutnya, ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat Mohd Mazlan seperti yang disahkan oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Abdul Rahman Yusof turut membuktikan Mohd Mazlan dibunuh dengan niat.

Sebaliknya, katanya, pembela gagal mengemukakan keterangan sokongan kepada fakta yang ditimbulkan dalam perbicaraan bagi mewujudkan  keraguan munasabah.

Menurutnya, Affandi berkata tongkat sakti dan songkok ajaib berharga RM2.5 juta mempunyai hikmat tetapi gagal membuktikannya walaupun memanggil dua saksi untuk memberi keterangan sewaktu pembelaan.

Mokhtar berkata, bukti juga tidak dikemukakan bagi menunjukkan bahawa pasangan bomoh itu memiliki RM900,000 seperti didakwa oleh pembela  serta hidup dalam suasana mewah.

Sebaliknya, katanya, Mona dan Affandi berbelanja besar lebih RM200,000 selepas kematian Mohd Mazlan sedangkan pendakwa berjaya membuktikan Mazlan mengeluarkan RM250,000 pada siang 2 Julai 1993.

Sedangkan, katanya, baki dalam akaun simpanan Mona dan Affandi tidak banyak iaitu sekitar RM2,000.

Katanya, kebanyakan not RM200,000 yang dibelanjakan oleh pasangan  bomoh itu adalah not RM1,000 sama seperti not yang diterima oleh Mazlan dari bank.


EPISOD 34

CERITAKU mengenai Mona Fandey hampir ke penghujungnya. Waktu itu adalah hari-hari terakhir aku bersama Mona serta dua tertuduh lain - Juraimi Husin dan Mohd Affandi Abdul Rahman.


Cerita dalam mahkamah sudah selesai. Juri memberi keputusan 7-0. Kalau  main bola sepak ni kata orang kena belasah teruk macam pasukan Malaysia. Tugas aku tak tamat lagi, aku kena bekejar ke luar mahkamah kena dapat kenyataan daripada ketiga-tiga tertuduh. Uh, mana dan aje le, hulur perakam kaset. Nanti ada satu gambar, engkau orang nampak tangan aku saja.

Hasilnya : ""Hukuman itu adil dan saya sudah jangka macam itu," kata Maznah Ismail atau Mona Fandey mengenai keputusan sebulat suara tujuh juri bahawa dia, Affandi dan Juraimi bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris.

Katanya, dia puas hati dengan keputusan mahkamah dan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Saya menerima keputusan itu. Syukur Alhamdulillah.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada wartawan dan seluruh rakyat Malaysia. Saya cintakan Malaysia," katanya ketika dibawa keluar dari bilik mahkamah untuk ke trak polis.

Menjawab soalan, Mona berkata dia sangat sayangkan suaiminya, Affandi.

"I love Encik Fandi very much," katanya.

Ditanya mengapa sayang Affandi, Mona menjawab: "Affandi adalah hak saya, hak saya juga adalah hak Affandi."Mengenai anaknya Mona menjawab: "Anak saya tak kisah, kalau ada laki, dapat anak."

Mona ketika ditanya sama ada mahu meminta maaf kepada keluarga Mazlan seperti yang dilakukan oleh Juraimi, katanya: "Saya sayang pada keluarga Datuk semua. Sebagai adik kandung saya."

Affandi pula ketika ditanya perkara yang sama pula menjawab: "I only (saya cuma) minta maaf to God (pada tuhan). Pada isteri Datuk pun tidak. "I'm not the one who do it (bukan saya melakukan pembunuhan itu), but he the one who do it (tetapi dia yang melakukannya)."

Juraimi pula ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah, berkata dia macam biasa dan tidak gugup ketika menunggu keputusan itu.


Sikit lagi nak habis dah story kes pembunuhan paling sensasi di Malaysia ni. Oh ye, untuk yang follow story Mona Fandey ni, sekali lagi nak bagi tahu bahawa, segala penulisan mengenai Mona Fandey ini adalah datangnya dari pengalaman Webzone Attack (WA). Aku pun tak kenal siapa WA ni, tapi segala kredit adalah untuk beliau.

 

No comments:

Post a Comment

Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.

Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.