Tuesday, March 13, 2012

Dirang..hukuman kepada masyarakat

Allahuakbar! Tersentuh naluri keibuan aku sebaik mendengar Buletin Utama semalam mengenai mayat rentung yang ditemui di Masai Johor adalah Dirang. Sambil aku memandang anak gadis ku yang berusia 1 tahun 10 bulan sibuk bermain dengan permainannya.."Allah lindungilah anak aku dari kekejaman manusia."

Siapa Dirang?
Bagi yang belum mengetahuinya aku copy kronologi kejadian dari page ini.

Berikut adalah kronologi kejadian:

1 Mac 2012 :
Kira-kira jam 11 pagi - Nurul Nadirah Abdullah 5 tahun mengadu lapar, ibunya, Roselyn Alan memberi wang RM4 bersama sekeping nota tertulis dua bungkus mi segera dan telur RM2 untuk dibeli di kedai di blok bersebelahan di rumah mereka di Blok A, Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru.

12 tengahari, Nurul Nadirah atau panggilan manja Dirang, 5 tahun disedari tidak pulang ke rumah.

Jam 3 petang hari yang sama, ibu Dirang, Roselyn Alan buat laporan polis selepas gagal menemui kanak-kanak itu.

Sebaik menerima laporan, sepasukan polis melancarkan gerakan mencari dan menemui sebelah kasut kuning dipakai Dirang dalam kebun kelapa sawit berhampiran flet.

Sebelah lagi ditemui hampir 500 meter dari situ dengan telur yang dibeli pecah dan mi segera bertaburan.

Tiga suspek terdiri dari dua lelaki dan seorang wanita berusia 30an hingga 40-an ditahan polis pada hari yang sama.

Ketiga suspek turut didapati positif dadah jenis syabu.

Gerakan mencari terus dilakukan polis IPD Seri Alam manakala keluarganya turut mengedarkan 80 poster gambar Dirang dan dipasang di sekitar Bandar Seri Alam.


6 Mac 2012:
Ibupejabat Polis Seri Alam turut memohon bantuan kepakaran Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak Bukit Aman, dan sehingga hari berkenaan, lebih 20 lokasi sudah diperiksa polis.


8 Mac 2012:
Kira-kira jam 9 pagi, polis menemui serpihan rangka manusia dalam kawasan ladang kelapa sawit Nusa Damai.

Rangka manusia yang rentung itu ditemui dalam sebuah lubang oleh orang awam.

Pada hari yang sama juga, polis menahan seorang lagi lelaki iaitu bapa kandung kepada Nurul Nadirah bagi membantu siasatan.

Sejak 1 Mac hingga petang semalam, ibu Dirang tak putus asa meninjau kawasan sekitar dengan harapan dapat menemui anak sulungnya itu.


11 Mac 2012:
DYMM Raja Zarith Sofiah berangkat mencemar duli melawat keluarga Nurul Nadirah, kira-kira jam 10 pagi.


12 Mac 2012:
Selepas 12 hari dilaporkan hilang, Jabatan Kimia mengesahkan rangka manusia yang ditemui rentung di kawasan kelapa sawit di Nusa Damai milik Nurul Nadirah.

Ia disahkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Roslan Zainuddin semalam hasil ujian DNA yang dijalankan terhadap mayat terbabit dan sampel diambil dari ibunya.

Lanjutan itu, polis turut mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini ia diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Polis turut mendapatkan lanjutan reman terhadap keempat empat suspek.

Mayat Allahyarham Nurul Nadirah dijangka dituntut keluarganya petang ini untuk dikebumikan.

 
Ada yang sakit jiwa dikalangan kita. Ada yang mentalnya tidak normal. Siapakah mereka? Adakah mereka juga dibesarkan oleh orang yang berfikiran tidak waras. Aku percaya kejadian ini bukan hukuman terhadap keluarga Dirang, sebaliknya hukuman pada masyarakat.
 
Kenapa? Sebab kita tak pernah ambil peduli. Kita tak pernah kenal jiran. Kita tak pernah ambil tahu orang asing di kalangan kita. Malah kita tak peduli pun kalau ada jiran-jiran yang abnormal di kawasan kita. Kerana sikap tidak peduli kita inilah kita dihukum. Kita merestui sebuah persekitaran yang membenarkan anak-anak didik secara salah oleh orang yang kurang waras.
 
Ya Allah tolong lindungi semua kanak-kanak dari mara bahaya dan kekejaman orang dewasa.
 
Khas untuk Allahyarham Dirang, auntie terpesona lihat wajahmu di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen..comel dan anggun. Namun sayang, usia kamu tidak panjang. Allah telah memanggil kamu di sisiNya. Malah kamulah bidadari kecil syurga untuk ibu bapa kamu.
 
Khas untuk keluarga Dirang, kesedihan yang tidak tetanggung terutama untuk si ibu..Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..Tiada kata-kata lain selain sabar dan redha dengan ketentuan Allah. Bertabah dan yakinlah bahawa Allah ada perancangan lebih baik terhadap kamu sekeluarga.
 
Al-Fatihah untuk Dirang dan semua kanak-kanak yang senasib dengannya...

No comments:

Post a Comment

Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.

Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.