Alhamdulillah, kunci rumah selamat diserahkan pada aku dan suami sebagai pemilik bersama pada Sabtu lepas 29 Jun 2013. Tahniah dan terima kasih kepada pemaju walaupun lewat 2 bulan daripada perancangan asal, memandangkan kami sekeluarga tidaklah begitu terdesak untuk masuk rumah baru tu, maka tak terasalah sangat. bagi kes-kes khas yang mana sudah berjanji dengan tuan rumah sewa untuk keluar pada bulan April yang lalu, sudah tentulah sangat mendesak untuk segera mendiami rumah yang dibeli.
Sewaktu sampai di kediaman, Mr. Tan (wakil pemaju) sudah menunggu. Sebelum itu, ada dua rumah yang telah diserah kunci. keseluruhan unit yang telah menerima kunci adalah 10 daripada 26 unit rumah sehingga hari ini. Oleh sebab Sang Suami memang dalam bidang construction, maka aku meletakkan sepenuh kepercayaan padanya untuk menguruskan hal-hal masuk rumah baru ni...Banyak juga perkara yang aku belajar daripada sang suami berkenaan tatacara dan proses mendapatkan kunci rumah. Antara perkara yang perlu disemak dan 
diperhatikan ketika proses mendapat kunci adalah seperti berikut:
Penyerahan dan penerimaan:
Kunci akan diserahkan setelah pembeli menyelesaikan kesemua tanggungan. 
Contohnya penukaran nama pada bil Syabas, TNB, Kutipan Sampah, penalti 
kelewatan bank dan sebagainya. 
 
Pihak pemaju/wakil akan menunjukkan butiran di dalam rumah berada di 
dalam keadaan yang baik. Contoh, air, elektrik dan sekiranya lampu atau 
kipas disediakan, ia juga berfungsi dengan sempurna. Jika boleh, bawa 
bersama floor plan di dalam S&P supaya anda dapat memerhatikan jika 
ada sebarang perbezaan.
Kecacatan:
Semak defect atau kecacatan sebelum anda membuat sebarang renovation 
(termasuklah minor renovation seperti pemasangan grill, penukaran lampu,
 kipas, dan lain-lain). Semasa sesi pemeriksaan rumah, bawa bersama 
sticker dan ditulis dengan nombor dan catatkan di dalam kertas supaya 
mudah pihak pemaju/wakil membuat kerja-kerja membaiki kecacatan. Anda 
boleh melaporkan kecacatan yang berulang kali sehinggalah tempoh Defect 
Liability Period/DLP (Tempoh tanggungan Kecacatan) tamat. Semak jika ada
 sebarang kaveat terhadap DLP tersebut. Contohnya pemaju tidak lagi 
menanggung kecacatan rumah sekiranya anda melakukan ubahsuai.
 
Keselamatan: 
Bawa bersama pad lock (sekurang-kurangnya 2 buah) untuk mengunci 
pagar depan dan belakang apabila anda meninggalkan rumah selepas serahan
 kunci. Selepas serahan kunci pemaju tidak lagi bertanggungjawab atas 
kehilangan atau kecurian yang berlaku.
Pemasangan Grill atau Alarm amat penting. Bukan bermakna rumah anda 100%
 selamat, tetapi pemasangan grill akan melengah-lengahkan usaha 
penceroboh dan mungkin seseorang akan mengetahui bahawa rumah anda 
sedang diceroboh. Pemasangan alarm pula memberikan amaran awal agar 
tindakan dapat diambil. Ambil kira soal risiko kebakaran apabila anda 
memasang grill.
Privacy:
Tinted, langsir atau blind merupakan perkara kedua selepas pemasangan 
grill. Sekadar bergurau, anda juga mungkin boleh mengalas tingkap dengan
 kertas surat khabar atau menyidai kain batik sahaja!. Apa juga pilihan 
anda, yang penting biarlah selesa dan tidak berlebihan.
Adab memasuki rumah:
Keterujaan mendiami rumah baru sememangnya tidak dapat dinafikan. Namun 
begitu, bagi memastikan kesejahteraan seluruh penghuni rumah, eloklah 
beberapa perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam 
dilaksanakan oleh bakal penghuni seperti berikut:
1. Azan - Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru. 
Jika tiada orang lelaki maka orang perempuan juga boleh azan. Ia juga 
baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh 
sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu bahawa
 sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan
 (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg 
dikenali sbgai Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak 
berpenghuni.
2. Membaca surah Al-Baqarah - Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
 Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; 
"Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), 
sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah 
Al-Baqarah."
3. Banyakkan Solat dan Membaca Al-Quran - Dalam sebuah hadis lain
 pula, Rasulullah s.a.w. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan 
solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru 
diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan 
memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran." (hadis riwayat Al-Baihaqi)
4. Baca Surah Yassin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas - Amalkan membaca 
surah Yassin setiap malam terutamanya 7 malam pertama anda menduduki 
rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, 
surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas nabi sebanyak 7 kali, ayat Kursi
 sekali, tetapi di ayat terakhir bacalah sebanyak 7 kali.
5. Pagar Rumah Secara Islam - Perbuatan memagar rumah dengan 
menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di
 rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda 
tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah 
perbuatan yang bertentangan di sisi Islam.
Bagaimana pun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam.
Caranya ialah dengan 'memagar rumah' dengan merenjis air Yassin di sekeliling rumah. 
Ikuti panduan berikut:
Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah 3 Kul 
(Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas). Kemudian tiup ke dalam air tersebut 
perlahan-lahan hingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air 
tersebut ke setiap penjuru rumah dengan mulai dengan penjuru yang 
terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah 
berlawanan jarum jam (pusingan seperti tawaf di Ka'abah).
 
