Monday, September 10, 2012

REZEKI PENJAWAT AWAM TIDAK BERKAT

Aku pernah memperkenalkan satu artikel dari kawan baikku di Kementerian lama (NRE) dulu di sini. 
Aku cukup gemar membaca tulisannya dan huraiannya. Malah sewaktu di Kementerian lama, ramai pegawai-pegawai di Jabatan sukakan caranya mengajar atau menerangkan sesuatu perkara seperti menerangkan kaedah pengisian SPP II. Pada aku mungkin kerana otaknya begitu terang dan hatinya jujur, maka senang untuk menyampaikan ilmu kepada orang lain.

Kali ini aku bawakan sekali lagi sebuah penulisan pada aku cukup mengasyikkan dan menyeronokkan apabila dibaca.
REZEKI PENJAWAT AWAM TIDAK BERKAT
by Abzarul Mohd Kamil on Wednesday, August 29, 2012 at 12:53am ·



Sewaktu melanjutkan pengajian di UIA dulu, ada seorang sahabat (sebenarnya senior) yang aku hormati. Bagi aku bila sebut pasal orang beriman dan beramal salih, mungkin dialah karakternya. Orangnya tidak merokok, tidak pernah bercakap benda kotor, dan tidak pernah buat orang marah. Belajar pun pandai. Aku kagum dengannya, dan aku dengar kata-katanya.

"Abzarul, ana dengar anta dapat tawaran kerja Government? Jadi penjawat awam? Betul ke?" satu hari tiba-tiba dia bertanya. Dari mana dia dapat berita aku pun tak tau.

"Memang betul! Hahaha.. eh! Alhamdulillah…" aku memang seronok gila time tu. Kalu buleh tanak menunjuk (kononnya). dah orang tanya nak buat macam mana… heh hee

"Alhamdulillah.. ana doakan yang terbaik untuk anta! Ana pun dapat jugak. Tapi ana rasa nak tolak tawaran tu!" kata sahabat aku ni. Aku terkejut. Orang lain punya nak keja tetap, apasal dia tanak? Aku tanya dia apasal dia tolak dan jawapannya agak berdalih, tapi akhirnya dia kata:

"Ana mintak maaf Abzarul. Ana bukan kata anta salah pilih haluan, tapi ini hal pegangan dan prinsip. Ana tolak tawaran sebab prinsip ana nak cari keberkatan dalam rezeki. Bagi ana isu keberkatan ini penting, sebab rezeki yang kita dapat akan disuap ke dalam mulut anak dan isteri jugak", kata sahabat aku ni. Aku makin tak paham.

KUMPULAN WANG DISATUKAN

"Ana belajar ekonomi. Anta tau Kumpulan Wang Disatukan?" soal sahabat aku ni. Time tu terus terang cakap aku tak tau apa benda Kumpulan Wang Disatukan ni. Aku ingat KWSP! Sahabat aku kata bukan dan dia pun sambung lagi:

"Kumpulan Wang Disatukan ni merupakan dana kerajaan yang digunakan untuk pembangunan Negara. Daripada kumpulan wang ni juga gaji penjawat awam dibayar... Sumber terbesar dana ini ialah cukai pendapatan, dan beberapa sumber lain lagi…" Dia berhenti di situ. Menunggu aku bertanyakan soalan…

"Owh, sumber apa lagi?" aku pun tanya la. Karang langsung tak cakap nampak macam aku tak paham pulak.

"Cukai arak, cukai kasino, rumah urut! Sumber-sumber ni walaupun bukan dalam bahagian yang besar, tetapi turut termasuk dalam Kumpulan Wang Disatukan tadi!" jawab sahabat aku ni dengan cepat. Hmmmm… Aku mula faham kata-katanya, aku mula dapat mengaitkan mukaddimahnya yang panjang tadi satu-persatu.

Tapi dia nampak menyesal dengan kata-katanya. Berulang kali dia kata tidak berniat menghalang aku terima tawaran menjadi penjawat awam, dan bukan niat dia nak mengatakan gaji yang bakal aku terima nanti tidak berkat. Dia bertegas ini hanyalah soal prinsip hidupnya, prinsip mencari keberkatan.

Jangan bimbang sahabat! Aku hormati prinsip hidupmu yang mahukan kebersihan diri dan harta, keberkatan rezeki dan hidup. Untuk beberapa waktu, aku tiada prinsip sendiri yang menyokong pilihanku. Aku sebenarnya menyokong prinsipmu, sehinggalah beberapa tahun dahulu… Tapi sahabat, kini dengarlah prinsip aku! Heh hee

PRINSIP AKU SEBAGAI PENJAWAT AWAM

Aku tidak tahu benar atau tidak benar sumber-sumber tidak berkat (seperti cukai arak dan kasino) turut termasuk dalam Kumpulan Wang Disatukan. Bahkan sampai sekarang pun aku masih tidak jelas sepenuhnya mekanisme pembayaran gaji penjawat awam, adakah dari Kumpulan Wang Disatukan atau dari sumber-sumber lain juga. Tapi apa prinsip yang perlu aku pegang jika seandainya benar gaji yang aku makan turut mengandungi sumber-sumber tidak berkat seperti itu? Dengar sahabat, analogi yang aku ulang-ulang dalam hatiku… Analogi yang seperti ini:

ANALOGI 1: PENOREH GETAH DAN GRO SEKSI

Sahabat, apa pendapatmu tentang seorang penoreh getah. Kerjanya mengambil upah menoreh getah milik orang lain. Dia mendapat upah sebanyak RM500 hasil kerjanya. Soalan 1: Adakah RM500 yang diperoleh penoreh getah itu boleh dikatakan rezeki yang berkat?  Aku kata jawapannya YA. RM500 yang diperoleh penoreh getah itu sudah semestinya berkat kerana dia melakukan pekerjaan yang halal hasil titik peluh dan kudrat tulang empat keratnya.

Tapi penoreh getah ni rosak akhlak sikit. Dia mencari perempuan tidak bermoral dan melakukan maksiat (aku tidak berniat menghina penoreh getah, ini sekadar contoh sahaja). Kemudian dia menggunakan RM80 dari duitnya yang sebanyak RM500 tadi sebagai bayaran kepada perempuan tidak bermoral atau GRO tersebut. Soalan 2: Adakah RM80 yang diperoleh GRO itu boleh dikatakan rezeki yang berkat? Aku kata jawapannya sudah tentu TIDAK! RM80 yang diperoleh GRO ialah rezeki yang tidak berkat kerana wang itu didapati melalui cara maksiat!

ANALOGI 2: PENJUAL DADAH DAN TUKANG GUNTING RAMBUT

Sahabat, bagaimana pula dengan seorang penjual dadah. Kerjanya mengedarkan ganja dan heroin yang membahayakan nyawa manusia. Dia mendapat keuntungan sebanyak RM5000 hasil jualan dadahnya. Soalan 1: Adakah RM5000 yang diperoleh penjual dadah itu boleh dikatakan rezeki yang berkat? Jawapannya sudah tentu TIDAK! RM5000 yang diperoleh penjual dadah itu sudah semestinya tidak berkat kerana dia melakukan pekerjaan yang haram dan memudaratkan orang lain!

Tapi mamat penjual dadah ni ada masalah. Dia rasa rimas sebab rambutnya tumbuh dengan panjang. Dia pergi ke sebuah kedai gunting pakcik tua untuk menggunting rambutnya yang berserabut tu. Selesai bergunting, dia menggunakan RM10 dari duitnya yang sebanyak RM5000 tadi sebagai bayaran kepada pakcik tua si tukang gunting. Soalan 2: Adakah RM10 yang diperoleh pakcik tua itu boleh dikatakan rezeki yang berkat? Aku kata jawapannya ialah YA, RM10 yang diperoleh pak cik si tukang gunting ialah rezeki yang berkat kerana pakcik tu buat kerja yang halal dan baik. Dia hanya menggunting rambut…

BERKAT ATAU TIDAK BUKAN SEMATA-MATA BERGANTUNG KEPADA SUMBERNYA, TETAPI KAEDAH MENDAPATKANNYA

Jika dilihat kepada kedua-dua analogi di atas, berkat atau tidak bukan semata-mata bergantung kepada sumbernya sahaja. Rezeki yang pada asalnya haram boleh berubah menjadi halal (seperti dalam ANALOGI 2), sebagaimana rezeki yang halal boleh berubah menjadi haram (seperti dalam ANALOGI 1), bergantung kepada kaedah mendapatkan rezeki tersebut. Dalam hal ini sahabatku, aku dan penjawat awam yang lain ialah pakcik tua si tukang gunting itu. Kami tidak tahu sama ada pelanggan yang datang menggunting rambut itu membawa duit yang haram atau tidak. Tetapi kami melakukan kerja yang halal, kami menggunting rambut (dalam konteks penjawat awam kami melaksanakan khidmat kepada masyarakat). Mudah-mudahan Allah memberikan kita semua rezeki yang berkat dan dirahmati-Nya…

DALAM PRINSIP TIDAK HARUS ADA PREJUDIS

Namun pernah terlintas di fikiran aku: "Pakcik si tukang gunting hanya boleh menerima RM10 itu jika dia tidak tahu wang itu adalah hasil jualan dadah. Dia tidak boleh mengambil upah menggunting rambut sekiranya dia sedia tahu bahawa upahnya itu dibayar dengan hasil jualan dadah…" Aku rasa prinsip seperti ini tidak tepat.     

Ini kerana jika prinsip ini diaplikasikan, maka menjadi kewajipan setiap muslim untuk menyelidik susur galur punca sesuatu rezeki (atau wang) walaupun dia melakukan kerja yang halal.  Sebagai contoh seorang penjual buah-buahan apabila menerima bayaran daripada pembeli, maka adalah wajib dia bertanya kepada pembeli dari mana pembeli mendapatkan wangnya. Adakah dari jalan curi atau bekerja. Sekiranya pembeli berkata dia mendapat wang itu dari jalan bekerja, maka masih jadi kewajipan kepada penjual buah untuk menyelidik majikan pembeli itu dan begitulah seterusnya.

Dalam Analogi 1 rezeki yang halal boleh berubah menjadi haram kerana kaedah mendapatkannya adalah haram, maka dalam Analogi 2 mengapa perlu ada prejudis untuk mengatakan rezeki yang haram boleh menjadi halal jika kaedah mendapatkannya adalah halal?   

HANYA SEKADAR PANDANGAN

Kepada sahabat aku tadi, ingin aku jelaskan bahawa ini hanyalan pandangan dan prinsip aku sahaja. Aku cuba menjelaskan bahawa pilihan aku untuk menjadi penjawat awam adalah di atas landasan yang betul. Dan aku berdoa, semoga Allah mengurniakan kepada kita semua rezeki yang berkat dan dirahmati. Kerana seperti mana yang sahabat aku ni kata: "Rezeki yang kita peroleh tidak dimakan seorang diri, tetapi turut akan disuap ke mulut anak dan isteri, ibu dan bapa dan kaum keluarga…"

2 comments:

  1. Salam.saya amat tertarik dgn anologi2 yg saudari keutarakan..benar,sy juga mempunyai prinsip sebegitu..bukan berkaitan sumber,tetapi bgimana cara perolehannya =)

    ini kerana ade sesuatu yg masih bermain di fikiran saya..ini bukan berkaitan penjawat awam sahaja malah penjawat dr sektor swasta or mane2 pekerja yg bekerja di bawah "majikan"..kite perlu ambil kire urusan ini jika mahu hasil gaji yg kite perolehi itu berkat..semuanya bergantung kepada individu itu tersendiri,ttg bgimana cara dia bekerja...

    sbgi cth: seorg pkerja ni spatutnya bekerja 8jam..tetapi dgn kerja yg biasa2 or x berdisplin..mungkin menyebabkan dia cume bekerja 5jam sahaja sehari..3jam lagi mgkin borak2 kosong,g jln2,masuk lambat or balik awal..semua ni sgt perlu diambil kira kerana ini adalah "kaedah" kita memperolehi rezeki..

    semoga semua penjawat awam,swasta or mane2 pkerja dibwh "majikan" perlu mendisplinkan diri ketika bekerja...kerjalah ngam2 8jam..kerana khuatir rezki yg kite perolehi nti x berkat..wallahu'alam..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Teriam kasih atas komen saudara/saudari. Sukacita saya ingin maklumkan bahawa artikel ini adalah copy daripada artikel kawan saya dalam FB beliau. Semua pendapat di atas adalah hasil penulisan beliau 100% dan pihak saya sebagai tuan punya blogger hanya sekadar berkongsi dengan pembaca.

      Delete

Di padang datar dirikan kemah,
Mohon komen dengan berhemah.

Petang-petang main dam,
Komen berimpak negatif akan dipadam.